suria

22 kru bot disyaki PATI, ditahan Maritim Pulau Pinang

22 kru warga Thailand tanpa dokumen pengenalan diri ditahan.

SEBUAH bot nelayan tempatan disyaki menggajikan pendatang asing tanpa izin (PATI) di Monkey Beach, Georgetown Pulau Pinang ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim (Maritim) Pulau Pinang.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.15 petang petang Ahad lalu, seramai 22 kru bot warga Thailand termasuk tekong ditahan pada kedudukan kira-kira 0.9 batu nautika utara Monkey Beach.

Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, bot nelayan tempatan itu ditahan ketika bersauh di utara perairan Pulau Pinang oleh anggota penguat kuasa yang melaksanakan rondaan rutin Op Benteng Laut.

"Hasil pemeriksaan mendapati bot nelayan tempatan kelas C2 itu dikendalikan 22 kru warga Thailand termasuk tekong berusia lingkungan 26 hingga 54 tahun.

"Pemeriksaan lanjut mendapati, kesemua kru terbabit disyaki telah melakukan kesalahan iaitu bekerja di atas bot tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan dan tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Katanya, bot dan kru yang ditahan dan dibawa ke Jeti Polis Marin Batu Uban untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia bagi siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 iaitu bekerja di atas bot tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan dan Seksyen 56 (1A) (a) Akta Imigresen 1959/63 iaitu melakukan kesalahan dengan berada di Malaysia tanpa suatu dokumen yang sah.

"Maritim Malaysia menegaskan kepada semua terutama komuniti nelayan agar mematuhi peraturan yang telah ditetapkan. Kita tidak akan berkompromi dengan mereka yang sengaja melanggar undang-undang Persekutuan yang sedia ada.

"Sebarang aduan salah laku jenayah maritim atau sebarang kecemasan di laut segera hubungi talian hotline Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian (04-2626146) atau talian kecemasan MERS 999," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

PATI, kru warga asing, Thailand, kru bot,

Artikel Lain