suria

Sukan SEA Hanoi: Malaysia raih dua pingat emas, satu gangsa acara olahraga

Dari kiri, Sadat, Jackie dan Grace memastikan dua pingat emas dan satu gangsa dalam acara olahraga pagi Ahad. - Foto Majlis Sukan Negara

MALAYSIA terus memburu pingat emas dalam temasya Sukan SEA ke-31 di Hanoi, Vietnam.

Menerusi acara olahraga, dua pingat emas diperoleh pada Ahad apabila Grace Wong berjaya membuat hantaran terbai menerusi acara lempar tukul besi (wanita) di samping Jackie Wong ketegori lelaki.

Grace mencatatkan balingan sejauh 57.13 meter (m), pada percubaan keempatnya, bagi menewaskan pencabar-pencabar lain dan sekali gus meraih pingat emas buat negara.

Dalam pada itu, Jackie turut cemerlang apabila menewaskan juara bertahan dari Thailand, Kittipong Boonmawan dalam acara lelaki.

Jackie yang bersaing hebat dengan Kittipong akhirnya mencatatkan balingan sejauh 66.49 m pada percubaannya yang terakhir bagi meraih pingat emas.

Seorang lagi atlet lempar tukul besi negara, Sadat Marzuki turut membantu menambahkan lagi pungutan pingat buat negara, apabila meraih gangsa dalam acara sama.

Acara final 200 m (wanita) pula menyaksikan Zaidatul Husniah Zulkifli menamatkan saingan pada kedudukan kelima diikuti Siti Fatima Mohamad di tempat kelapan manakala bagi acara lelaki, Muhammad Arsyad Md Saat menamatkan saingan pada kedudukan keempat dan Johnathan Nyepa (keenam). - Sinar Harian

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain