suria

Juara Piala FA, Liverpool buru gelaran pasukan Inggeris pertama rangkul empat trofi

Pemain Liverpool bersorak kemenangan.

LIVERPOOL berjaya menjulang Piala FA buat kali pertama di bawah kendalian Jurgen Klopp selepas menumpaskan Chelsea 6-5 menerusi penentuan sepakan penalti di Stadium Webley di London awal pagi, Ahad.

Perlawanan akhir yang sengit itu telah menamatkan seri 0-0 selepas masa tambahan diberikan.

Malah rembatan kapten Chelsea, Cesar Azpilicueta yang berjaya diselamatkan membuka peluang untuk pasukan kendalian Jurgen Klop merangkul piala.

Buat kali kedua musim ini, Liverpool muncul sebagai juara menentang Chelsea menerusi penentuan penalti, setelah menewaskan 11-10 berikutan satu lagi keputusan seri 0-0 dalam perlawanan akhir Piala Liga pada Februari.

Jurgen Klop raikan kemenangan Piala FA kali pertama bersama Liverpool.

Jurgen Klop raikan kemenangan Piala FA kali pertama bersama Liverpool.

Selain menzahirkan rasa bangga dengan pasukannya, Klop turut menyifatkan pasukan lawan sangat kuat sehingga perlu diputuskan melalui penalti.

"Chelsea bermain dengan cemerlang tetapi pada akhirnya mesti ada seorang pemenang dan itu adalah kami hari ini," ujarnya.

Kejayaan Liverpool membuatkan mereka terus memburu untuk menjadi pasukan Inggeris pertama memenangi kesemua empat trofi utama dalam satu musim.

Dengan dua kemenangan yang telah diperoleh, The Reds mengharapkan Manchester City yang menjadi pendahulu Liga Perdana menerusi tiga mata daripada mereka, tergelincir dalam perebutan kejuaraan dengan baki dua perlawanan untuk kedua-dua pasukan.

Walaupun Liverpool tidak dapat memenangi kejuaraan Inggeris kedua dalam tiga musim, mereka masih boleh menamatkan kempen yang menakjubkan dengan memenangi perlawanan akhir Liga Juara-Juara menentang Real Madrid di Paris pada 28 Mei. - Reuters

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain