suria

Tahniah India! Lakar sejarah pertama kali julang Piala Thomas

Pemain India Satwiksairaj Rankireddy (kiri) dan Chirag Shetty menyampaikan mata kedua selepas menewaskan pasangan Indonesia.

INDIA menjuarai Piala Thomas buat pertama kali selepas kemenangan bersejarah 3-0 ke atas Indonesia di Bangkok, Thailand.

Ia adalah detik penuh bersejarah bagi negara itu yang berjaya melenyapkan impian Indonesia untuk menjuarai kejohanan berprestij ini.

Srikanth Kidambi menjadi wira bagi perlawanan ini apabila mempamerkan kemenangan 21-15, 23-21 menentang Jonatan Christie dalam perlawanan perseorangan kedua yang cukup sengit.

ARTIKEL BERKAITAN: Kemarau 30 tahun Piala Thomas berterusan, Malaysia kecundang di suku akhir

India bermula dengan cemerlang dalam usaha untuk memenangi Piala Thomas pertama mereka apabila Lakshya Sen memberikan mata kemenangan pertama dalam perlawanan menentang Indonesia pada perlawanan akhir di Impact Arena.

Pemain berusia 20 tahun itu menunjukkan bahawa dia telah pulih daripada keracunan makanan apabila mengalahkan Anthony Ginting 8-21, 21-17, 21-19.

"Saya tiba di sini di Bangkok (dari Kejohanan Asia di Manila) dengan masalah keracunan makanan. Saya sukar berjalan dan tidak berada pada tahap baik dalam perlawanan sebelum ini tetapi demi kemenangan dalam perlawanan penting hari ini, ia merupakan satu momen menakjubkan," kata Lakshya.

"Saya sangat gembira kerana memenangi mata pertama. Saya gementar pada permulaan tetapi saya tetap fokus dengan harapan diletakkan kepada saya," ujarnya.

Untuk rekod, India diramal tewas dalam beregu pertama tetapi Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty berjaya menewaskan pasangan Indonesia Mohammad Ahsan-Kevin Sanjaya Sukamuljo 18-21, 23-21, 21-19 dalam masa 73 minit untuk memberikan kemenangan pasukan sekali gus mendahului 2-0.

Malah ketika ketinggalan 17-20 pada perlawanan kedua, pasangan India itu enggan berputus asa.

"Mereka adalah pilihan tetapi hari ini, kami tidak tergesa-gesa. Kami mengekalkan permainan, mengambil satu mata pada satu masa. Kami tahu kami mempunyai peluang dan kami berjaya melakukannya," kata Satwiksairaj. - The Star

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain