suria

Mat rempit buat aksi Superman ditahan polis, terpaksa tolak motor selama sejam sampai ke balai

Kesemua penunggang yang ditahan dipaksa menolak motosikal masing-masing lokasi ditahan sehingga ke Balai Polis Bayan Lepas. (Gambar Hiasan)

BUKAN sekadar berlumba, malah mereka turut melakukan aksi bahaya.

Begitulah kisahnya mengenai sekumpulan mat rempit yang didapati berlumba secara haram di Jalan Pantai Seagate di Bayan Lepas, Pulau Pinang, awal pagi Ahad.

Selain 50 buah motosikal yang ditahan dan disita, dua buah kereta turut ditahan dalam operasi yang dijalankan sepasukan polis bermula jam 12 tengah malam hingga 5 pagi itu.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Pulau Pinang, Superintenden Zafri Zolkapli berkata, sekumpulan mat rempit itu ditahan selepas didapati menunggang secara berbahaya dengan melakukan aksi tunggangan ala Superman.

Menurutnya, kesemua penunggang motosikal terbabit gagal meloloskan diri berikutan laluan dari arah Batu Maung menuju pusat bandar telah dikepung polis yang menjalankan operasi berkenaan.

"Kita mendapati, Jalan Pantai Seagate ini menjadi kegemaran mat rempit kerana keadaan jalannya yang lurus dan panjang. Mereka menjadikannya sebagai lokasi untuk berlumba secara haram selain mempamerkan aksi bahaya termasuk ala Superman’ dan stunt.

"Operasi ini dijalankan selepas kita menerima banyak aduan daripada orang awam berhubung tindakan mat rempit yang sering menunggang motosikal secara berbahaya selain terganggu dengan bunyi bising," katanya pada Ahad.

Mengulas lanjut, Zafri berkata, kesemua penunggang yang ditahan dipaksa menolak motosikal masing-masing yang diiringi polis selama sejam daripada lokasi ditahan sehingga ke Balai Polis Bayan Lepas.

"Sebanyak 150 saman dikeluarkan ke atas pelbagai kesalahan dalam operasi ini dan kita akan sentiasa menjalankan operasi bagi memerangi kegiatan mat rempit ini. Ia sememangnya mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya yang lain.

"Saya memberi amaran kepada semua penunggang motosikal terutamanya samseng jalanan supaya berhenti daripada melakukan aktiviti yang boleh membahayakan orang awam dan tindakan tegas akan diambil sekiranya mereka ditahan," jelasnya. - Sinar Harian.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain