suria

Bergambar dengan pakaian kegemaran, permintaan terakhir mendiang Nagaenthran ditunaikan sebelum jalani hukuman mati - Aktivis

Mendiang Nagaenthran dijatuhi hukuman mati di Singapura kerana mengedar 42.72g heroin.

MENDIANG Nagaenthran Dharmalingam sempat memakai pakaian kegemarannya sebelum menjalani hukuman mati.

Menurut aktivis hak asasi manusia Singapura, Kirsten Han, ia adalah permintaan terakhir mendiang yang ditunaikan keluarganya.

Han turut memuat naik sekeping gambar memaparkan Nagaenthren berpakaian kemeja-T berkolar, seluar jeans dan kasut sukan berwarna putih.

ARTIKEL BERKAITAN: Ahli keluarga dedah Nagaenthran jalani hukuman gantung pagi ini

"Rest In Peace, Nagaentran K. Dharmalingam.

"Sebelum menjalani hukuman mati, ahli keluarga dibenarkan membeli pakaian untuk dipakai banduan pada sesi penggambaran.

"Foto-foto itu diberikan kepada keluarga sejurus sebelum atau selepas hukuman mati," kata Han dalam catatan Facebook pada Rabu.

Han berkata, abang Nageanthren, Navin Kumar memberitahunya bahawa pakaian tersebut adalah pakaian kegemaran mendiang.

Terdahulu, keluarga Nagaenthran mengesahkan mendiang telah menjalani hukuman mati di Penjara Changi, Singapura, pagi Rabu.

BAJU

Gambar mendiang yang dimuat naik oleh Kirsten Han.

Adiknya Navin Kumar, 22, berkata pengebumian akan diadakan di Ipoh, lapor Reuters.

Nagaenthran, 34, yang dijatuhi hukuman mati pada 2010 kerana mengedar 42.72g heroin ke Singapura, dihukum mati selepas Mahkamah Rayuan menolak rayuan terakhir yang difailkan oleh ibunya untuk mengetepikan sabitan dan hukuman tersebut terhadap anaknya.

Kesnya telah menarik perhatian antarabangsa.

Pada 7 November tahun lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah menulis surat kepada rakan sejawatannya di Singapura Lee Hsien Loong memohon kelonggaran dalam kes itu.

Pada 3 Disember, Presiden Singapura Halimah Yacob berkata Nagaentran telah diberikan proses yang sewajarnya sepenuhnya di bawah undang-undang.

Dia sepatutnya dihukum gantung pada 10 November 2021, tetapi mendapat penangguhan sementara pada 9 November selepas mahkamah diberitahu dia disahkan positif Covid-19.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Berkaitan

Artikel Lain