suria

Kepulan asap menjulang ke langit, rupa-rupanya tempat pelupusan mercun terbakar

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten KomisionerBeh Eng Lai melupuskan mercun yang dirampas pada Selasa. Foto: Kamarul Ariffin.

KETIKA Ramadan menghampiri penghujungnya, berlaku satu kebakaran yang mengakibatkan letupan kuat di sekitar Sentul, Kuala Lumpur pada Selasa petang.

Dalam kejadian itu, tiga mangsa mengalami kecederan ringan.

Video kejadian yang berlaku pada 6.30 petang, memaparkan kepulan asap tebal di kawasan itu turut tular di media sosial.

Menurut laporan Berita Harian, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten KomisionerBeh Eng Lai berkata, kejadian berpunca dari stor simpanan bunga api yang dirampas oleh Ibu Pejabat Polis (IPD) Sentul di Jalan Perhentian, pada Selasa.

"Prosedur operasi standard (SOP) pelupusan barang kes dilakukan mengikut Perintah Mahkamah iaitu melupus barang kes dengan cara gelek iaitu menggunakan jentolak dan siraman air dan kemudian ditanam," ujarnya.

Dalam pada itu, Pusat Gerakan Operasi Bomba Kuala Lumpur dalam satu kenyataan turut mengesahkan tiga orang mangsa lelaki dewasa cedera ringan dalam kejadian itu dan kesemuanya sudah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).

"Bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 6.22 petang dan seterusnya balai bomba dan penyelamat (BBP) Sentul menghantar jentera ke tempat kejadian. Mereka dibantu oleh BBP Hang Tuah, BBP Titiwangsa, BBP Jalan Tun Razak dan BBP Wangsa Maju.

"Ia membabitkan stor simpanan rampasan bahan bukti berkeluasan 100 X 50 kaki persegi dan terbakar 30 peratus struktur bangunan dan 80 peratus kawasan terbuka yang membabitkan 50 buah kenderaan," ujarnya.

Seramai 60 anggota dan tiga jentera FRT, satu jentera FLRT, tiga trak air, satu jentera ALP dan dua EMRS dikerahkan ke lokasi kejadian sebelum kebakaran berjaya dikawal pada jam 7.04 petang.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Berkaitan

Artikel Lain