suria

PICKids: Tiada paksaan untuk ibu bapa, kanak-kanak dikecualikan daripada sekatan

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids) adalah secara sukarela. Foto: Bernama

TIADA paksaan buat ibu bapa berhubung pemberian vaksin kepada anak-anak mereka kerana Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids) adalah secara sukarela, kata Khairy Jamaluddin.

Menteri Kesihatan itu berkata, kementerian mahu membina keyakinan ibu bapa kerana menyedari masih ramai yang mengambil pendekatan tunggu dan lihat sebelum membenarkan anak mereka menerima suntikan Covid-19.

Beliau menambah, kanak-kanak juga tidak akan dikenakan sekatan seperti orang dewasa, dan akan dibenarkan memasuki premis walaupun mereka tidak divaksinasi.

ARTIKEL BERKAITAN: Pendaftaran dibuka hujung Januari, ini 10 perkara ibu bapa perlu tahu tentang program vaksinasi kanak-kanak

"Orang dewasa tidak dibenarkan masuk ke kedai makan atau pusat beli-belah jika mereka tidak diberi suntikan vaksin sepenuhnya, tetapi kita tidak akan mengenakan syarat yang sama kepada kanak-kanak.

"Kanak-kanak diberi pengecualian. Apa yang kita mahu adalah ibu bapa yakin apabila mereka membuat keputusan untuk memberi vaksin kepada anak-anak mereka dan tidak merasa terpaksa melakukannya," katanya pada majlis pelancaran PICKids di Hospital Tunku Azizah, Kuala Lumpur pada Khamis.

Khairy bagaimanapun berkata kanak-kanak yang tidak mempunyai perlindungan vaksin berisiko mendapat sindrom keradangan multisistem (MIS-C) atau Long Covid jika mereka dijangkiti virus tersebut.

"Sejak Januari, terdapat 9,413 kes Covid-19 membabitkan kanak-kanak berumur tujuh hingga 12 tahun.

"Walaupun jumlah ini tidak banyak berbanding orang dewasa, kanak-kanak yang dijangkiti berisiko mendapat MIS-C serta Long Covid, yang kita tidak tahu kesan sebenar.

"Jadi cara terbaik untuk melindungi kanak-kanak adalah dengan memberi mereka vaksin," kata Khairy sambil menambah beliau sendiri telah mendaftarkan anaknya yang berusia enam tahun di bawah PICKids.

Khairy berkata kementeriannya dan pakar telah menjalankan kajian menyeluruh mengenai program vaksinasi kanak-kanak di negara lain seperti Amerika Syarikat, Singapura dan Australia, sebelum memberi kelulusan untuk kanak-kanak di Malaysia diberi suntikan Covid-19.

Beliau menambah, sebanyak 15 peratus kanak-kanak yang layak telah mendaftar untuk PICKids setakat ini.

Di bawah PICKids, kanak-kanak akan menerima vaksin Cominarty oleh Pfizer-BioNTech, dengan satu pertiga daripada dos yang digunakan di dalam dos dewasa.

Program vaksinasi kanak-kanak ini memerlukan dua suntikan dos vaksin dengan sela masa lapan minggu selepas dos pertama. - THE STAR

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain