suria

Gas ammonia kilang proses ayam bocor, 463 pekerja diarah keluar

Operasi pemantauan masih giat dijalankan pihaknya di seluruh kawasan kilang berkenaan.

KEBOCORAN pada saluran paip gas ammonia menghasilkan bau amat kuat.

Demikian kata Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berhubung kebocoran gas ammonia di kilang memproses ayam di Bagan Tengkorak, Tanjong Karang, pada Rabu.

ARTIKEL BERKAITAN: Sambung legasi mak ayah, pemuda ini rela bangun seawal 2 pagi demi rezeki halal... tiap hari potong 600 ekor ayam tapi tak pernah terfikir nak cari kerja lain

Kejadian kira-kira jam 1.10 petang itu disedari pekerja kilang yang melihat kebocoran pada salah satu saluran paip di kilang terbabit.

Tambah Norazam, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 1.20 petang.

"Seramai tujuh pegawai dan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjong Karang dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Sejurus tiba, pemeriksaan mendapati berlaku kebocoran pada saluran paip gas ammonia yang menghasilkan bau amat kuat," katanya

Norazam berkata, bomba dengan pihak pengurusan kilang kemudian melakukan pemantauan menyeluruh dan menutup semua injap saluran gas tersebut.

Norazam memberitahu, semasa kejadian seramai 463 pekerja berada di kilang itu masing-masing terdiri daripada 290 lelaki dan 173 wanita.

Beliau berkata, tindakan pengosongan segera dilakukan dan kesemua pekerja itu diarah keluar ke kawasan selamat.

"Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan semuanya dalam keadaan selamat," ujarnya.

Menurut Norazam, sehingga kini, operasi pemantauan masih giat dijalankan pihaknya di seluruh kawasan kilang berkenaan.

"Sepasukan pegawai dan anggota bersama jentera Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) Shah Alam turut dikerah ke lokasi kejadian.

"Keadaan masih terkawal dan akan dipantau dari masa ke semasa," katanya. - Sinar Harian.

Artikel Lain