suria

Penguasa kanan SPRM didakwa pecah amanah lebih RM29 juta

Penguasa kanan SPRM didakwa pecah amanah lebih RM29 juta.

SEORANG penguasa kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dikaitkan dengan kehilangan wang rampasan agensi itu bernilai RM25 juta, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Selasa, atas satu pertuduhan pecah amanah melibatkan wang berjumlah AS$6.94 juta (lebih RM29 juta).

Shahrum Nizam Baharuddin, 41, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Suzana Hussin.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa sebagai seorang penjawat awam iaitu penguasa kanan SPRM, telah diamanahkan dengan penguasaan harta iaitu matawang AS$6.94 juta, telah melakukan pecah amanah jenayah berkaitan harta tersebut.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Bilik Ketua Cawangan Tindakan Khas (CTK), Ibu Pejabat SPRM Putrajaya antara 17 Disember 2018 dan 9 April 2019.

Dia didakwa mengikut seksyen 409 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih 20 tahun dan sebat, dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Kes ini dikendalikan oleh Pengarah Kanan Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM, Datuk Faridz Gohim Abdullah bersama Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Mahadi Abdul Jumaat manakala tertuduh diwakili tiga peguam antaranya K Ponnusamy.

Semasa prosiding, Wan Shaharuddin berkata, tertuduh ketika ini ditahan selama dua tahun di Penjara Simpang Renggam, Johor mengikut Akta Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK).

Beliau berkata, pihak pendakwaan membantah sekiranya tertuduh ditawarkan ikat jamin kerana pertuduhan yang dikenakan termasuk dalam kes yang tidak boleh dijamin.

Selain itu katanya, ia merupakan satu kesalahan yang serius malah mendapat liputan media satu dunia.

“Dia didakwa dengan kesalahan melibatkan wang yang banyak, iaitu lebih kurang RM30 juta, lebih-lebih lagi semasa kejadian, dia merupakan seorang pegawai penguat kuasa.

“Namun jika mahkamah mengguna pakai budi bicara untuk membenarkan tertuduh diberi ikat jamin, kami mencadangkan ia ditetapkan pada kadar RM10 juta dengan tiga penjamin,” katanya.

Selain itu, Wan Shaharuddin berkata, tertuduh juga dijangka akan dipertuduhkan dengan 101 pertuduhan berkaitan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) tidak lama lagi.

Bagaimanapun, Ponnusamy merayu agar mahkamah membenarkan anak guamnya diberi ikat jamin pada kadar minimum kerana dia perlu menanggung isteri dan dua anak.

“Ikat jamin sebagaimana yang dicadangkan pihak pendakwaan iaitu sebanyak RM10 juta adalah sangat tidak munasabah.

“Dia tidak mempunyai risiko untuk melarikan diri, lebih-lebih lagi ketika ini masih ditempatkan di penjara,” katanya.

Selain itu beliau berkata, Shahrum Nizam mempunyai masalah kesihatan iaitu sakit tulang belakang dan menghidap kanser hidung.

Selepas mendengar rayuan dan bantahan daripada kedua-dua pihak, Suzana tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 18 Februari depan untuk sebutan semula kes.

Untuk rekod, tertuduh merupakan salah seorang anggota pasukan siasatan kes pecah amanah bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid pada 2018 lalu.

September lalu, SPRM menahan tiga pegawainya selepas Hasanah membuat laporan bahawa sejumlah besar wang tunai yang dirampas suruhanjaya itu ketika menyiasatnya pada 2018 telah hilang.

Pada Isnin, media melaporkan, seorang pegawai SPRM yang didakwa terlibat dengan kecurian duit berkenaan ditahan di Penjara Simpang Renggam mengikut Akta Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK).

Mengesahkan perkara itu, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain berkata, pegawai itu menjalani hukuman dua tahun disebabkan terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah. - Sinar Harian

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

SPRM, penguasa kanan, pecah amanah

Artikel Lain