suria

Pasukan Bencana Istana Negara teruskan misi bantu mangsa banjir di Karak, lakukan kerja pembersihan

Pasukan Bencana Istana Negara melakukan kerja-kerja pembersihan. foto Istana Negara

PASUKAN Bencana Istana Negara meneruskan misi bantuan kepada mangsa banjir dengan melakukan kerja-kerja pembersihan beberapa buah rumah dan kawasan persekitaran Taman Wijaya di Karak, Pahang pada Isnin.

Istana Negara menerusi perkongsian di halaman Facebook rasminya memberitahu, kerja-kerja pembersihan itu melibatkan seramai 35 sukarelawan yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan Istana Negara yang dilengkapi dengan peralatan pembersihan dan mesin penyembur air.

"Buat julung kalinya, misi Pasukan Bencana Istana Negara pada hari ini juga melibatkan penyertaan seramai 15 sukarelawan Pasukan Telekom Malaysia Reaching Out Volunteers (TMROVers).

"Kerjasama antara Pasukan Bencana Istana Negara dan TMROVers atas perkenan dan cetusan idea Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

"Baginda telah menzahirkan hasrat agar Pasukan Bantuan Bencana Istana Negara bekerjasama dengan pihak atau badan bukan kerajaan dalam membantu jentera kerajaan menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir," katanya.

pasukan bencana istana negara 2

Pasukan Bencana Istana Negara meneruskan misi bantuan kepada mangsa banjir dengan melakukan kerja-kerja pembersihan beberapa buah rumah dan kawasan persekitaran Taman Wijaya, Karak, Pahang. foto Istana Negara

Menurut kenyataan itu, kerja-kerja pembersihan itu bermula dari pukul 9.30 pagi dan berakhir 5 petang.

Misi bantuan pada Isnin diketuai oleh Juruiring Tentera Laut kepada Yang di-Pertuan Agong, Laksamana Pertama Datuk Sharum Shaim.

Turut hadir menyertai misi bantuan adalah Pengarah Operasi Pasukan Bencana Istana Negara yang juga Juruiring Tentera Udara kepada Yang di-Pertuan Agong, Brigedier Jeneral Datuk Zahari Yahya dan Datuk Paduka Maharaja Lela Istana Negara Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini.

"Pasukan Bencana Istana Negara turut bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari Kuala Lumpur, pasukan sukarelawan TMROVers dan Sime Darby bagi membersihkan kawasan perumahan, memasak serta mengedarkan makanan tengah hari kepada penduduk yang terjejas akibat banjir," menurut kenyataan itu.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain