suria

AEON Mall Shah Alam mohon maaf... akui usaha sebaik mungkin bantu 570 pelanggan terkandas akibat banjir

AEON Mall memberi penjelasan berhubung kejadian banjir yang berlaku. gambar hiasan

AEON Mall Shah Alam menyantuni 570 pelanggan yang terkandas akibat banjir kilat di Shah Alam, Selangor pada 18 Disember lalu.

Pihak pengurusan AEON Mall Shah Alam dalam satu kenyataan berkata, dalam keadaan yang tidak bersedia serta kekangan tenaga kerja, mereka berusaha dengan sebaik mungkin untuk memastikan keselesaan pelanggan.

Sehubungan itu, pihak pengurusan memohon maaf di atas segala kekurangan dari pihaknya dalam menangani situasi tersebut.

"Kami memohon maaf seikhlas hati di atas segala kekurangan dari pihak kami dalam menangani situasi tersebut.

"Kami ambil maklum akan kelemahan kami dan kami ambil iktibar serta belajar darinya.

"Kami sedar adalah tidak mudah untuk memuaskan hati semua pihak apatah lagi dengan bilangan yang besar dalam keadaan kami yang tidak bersedia namun begitu, kami akan cuba pertingkatkan keupayaan kakitangan kami," katanya.

Tambahnya, berdasarkan kepada jadual kerja harian, operasi di gedung itu berakhir pada pukul 10 malam setiap hari.

Justeru, pihaknya tidak menyedari akan situasi sebenar banjir kilat yang berlaku di kawasan sekitar Shah Alam, dan selepas menerima banyak pertanyaan, keputusan dibuat pukul 9.40 malam untuk membenarkan pelanggan, kakitangan dan orang ramai yang terkesan dengan banjir untuk berlindung di dalam premis.

"Pada waktu ini, kakitangan kami sedar keadaan adalah bukan seperti banjir kilat biasa. Situasi adalah sangat kritikal di mana banyak jalan-jalan utama telah ditutup, air sungai telah melimpah, paras air di jalan raya yang ditenggelami adalah tinggi sehingga ke beberapa kaki dan sangat berbahaya.

"Dengan serta-merta, kakitangan kami terus memaklumkan kepada pelanggan yang berada di dalam premis dan juga di kawasan parkir kenderaan di dalam dan di luar mall, yang mereka boleh bermalam di dalam premis.

"Dengan keadaan yang tidak bersedia, di luar jangkaan serta kekangan tenaga kerja, mungkin ada di antara pelanggan yang tidak mendapat maklumat tersebut dan telah beredar terlebih dahulu.

"Satu ruang berhawa dingin dengan keluasan 6,400 kaki persegi di tingkat 3 yang boleh menampung kapasiti untuk 200 orang telah dibuka," katanya sambil menambah pelanggan yang terkandas turut berada di ruang legar untuk berlindung dan terdapat juga yang memilih untuk bermalam di dalam kenderaan masing-masing.

Dalam pada itu, jelasnya, bantuan segera turut diberikan seperti air mineral, susu tepung, lampin pakai-buang, roti, air panas, air mineral, tuala, bantal dan kain pelikat, dengan keutamaan diberikan kepada mereka bersama bayi dan anak kecil memandangkan kuantiti agak terhad.

"Pakaian turut diberikan kepada mereka yang basah kuyup. Kakitangan kami menolak troli dengan barangan bantuan dari tingkat ke tingkat. Dalam keadaan yang kurang terurus, walaupun kami telah cuba sedaya upaya, mungkin ada yang terlepas pandang dan tidak menerima bantuan barangan, terutama mereka yang berada di tempat-tempat terlindung dan di kawasan berjauhan dari kumpulan-kumpulan utama.

"Pelanggan yang bermalam turut menggunakan fasiliti seperti surau, tandas, bilik bayi. Ada yang berbaring di atas lantai seadanya serta sofa dan katil-katil pameran. Kami juga turut memastikan SOP dipatuhi dalam menguruskan situasi tersebut," tambahnya.

Pada hari berkenaan katanya, terdapat 173 kakitangan dan 255 penyewa turut terkandas.

Pihak pengurusan turut menghargai sokongan orang ramai yang menjadi dorongan untuk terus memberikan terbaik walau dalam keadaan getir.

"Namun kepada yang tidak berpuas hati dan menyatakan secara terbuka di media sosial dengan penggunaan istilah yang agak kurang manis disebabkan oleh ketidakpuasan hati, kemaafan jua yang kami mohon dengan penuh rendah hati.

"Tiada maksud walau sekelumit untuk membuatkan sesiapa merasa terluka dan kurang dihargai. Kami juga sangat bersyukur dan berterima kasih di atas segala usaha, sokongan dan kerjasama yang diberikan oleh pelanggan, rakan penyewa serta kakitangan kami," katanya.

Terdahulu, tular dakwaan mengenai pengawal keselamatan dan pihak pengurusan pusat beli-belah itu menghalau sebilangan mangsa yang terkandas dan berteduh di AEON Shah Alam dalam kejadian banjir.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain