suria

Najib masih dikategorikan kontak kasual, perbicaraan 1MDB ditangguhkan

Status MySejahtera Najib masih menunjukkan warna kuning iaitu kontak kasual. Foto: Bernama

PERBICARAAN kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB) masih ditangguhkan, memandangkan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak masih diklasifikasikan sebagai 'kontak kasual' dalam aplikasi MySejahteranya.

Hakim Collin Lawrence Sequerah menangguhkan perbicaraan kepada Khamis (16 Disember), selepas dimaklumkan oleh peguam Datuk Hariharan Tara Singh bahawa status MySejahtera Najib masih menunjukkan warna kuning.

ARTIKEL BERKAITAN: Kes seleweng dana SRC: Najib tetap didapati bersalah, hukuman 12 tahun penjara dan denda kekal

"Oleh kerana itu, di bawah kategori kontak kasual, beliau tidak dibenarkan memasuki premis mahkamah," kata Hariharan pada Selasa (14 Disember).

Selain Najib, status peguamnya Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah di aplikasi MySejahteranya juga masih kekal seperti sebelum ini iaitu berwarna jingga, kata Hariharan.

"Terdapat perintah pengawasan rumah (home surveillance) terhadap Muhammad Shafee juga. Hakikatnya kedua-dua mereka berhubung dengan anak Muhammad Shafee, Muhammad Farhan pada 6 Disember.

“"Tempoh kuarantin 10 hari akan tamat pada 15 Disember," tambahnya.

Hariharan mencadangkan agar mahkamah meneruskan perbicaraan pada Khamis (16 Disember), yang dibenarkan oleh Hakim Sequerah.

Mahkamah juga menolak permohonan pihak pendakwaan untuk menjalankan prosiding secara hibrid buat masa ini.

"Namun saya tidak menolaknya pada masa hadapan," kata hakim itu.

Pada Isnin (13 Disember), pihak pendakwaan memohon mahkamah membenarkan prosiding secara hibrid di bawah Seksyen 15A Akta Mahkamah Kehakiman (Pindaan) 2020, yang akan membolehkan mahkamah menjalankan prosiding secara dalam talian.

Bagaimanapun ia dibantah oleh Hariharan atas alasan pihak pembelaan tidak akan dapat berunding dengan anak guam mereka jika mereka menghadiri prosiding secara berasingan secara maya kerana Najib berada di bawah kuarantin.

"Ia adalah mustahil dan ia akan memudaratkan Najib," kata Hariharan.

Najib, 68, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.28 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama. - THE STAR

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain