suria

Kemenangan di Melaka menjadi bukti konsep Keluarga Malaysia memenuhi kehendak rakyat

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mendekati rakyat bagi mendengar luahan hati mereka.

TARIKH 20 November 2021 memancarkan satu isyarat yang dinanti-nantikan oleh Barisan Nasional (BN) apabila parti itu berjaya mencatatkan kemenangan memberangsangkan dalam pilihan raya negeri Melaka apabila gabungan itu memenangi 21 daripada 28 kerusi yang dipertandingkan.

Kejayaan itu benar-benar menyerlahkan BN apabila pendekatan atau konsep Keluaraga Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob benar-benar berjaya menambat hati rakyat yang dizahirkan menerusi kemenangan itu.

Seruan agar seluruh rakyat bekerjasama, tanpa mengira kaum, agama dan budaya, dalam semangat kenegaraan bersama, jelas menyentuh hati pengundi yang mahukan kestabilan politik dan peningkatan ekonomi selepas melalui peristiwa mencabar sejak beberapa tahun lalu.

“Ini adalah semangat Keluarga Malaysia di mana kita semua menuju ke destinasi yang sama iaitu membina semula Malaysia selepas melalui pandemik yang mencabar,” kata baliau di laman Facebook rasminya.

Calon berbilang kaum yang diletakkan oleh BN, dari Umno, MCA dan MIC, mencontohi pendekatan keluarga ini terhadap politik.

Aspek utama Keluarga Malaysia ialah penurunan suhu politik negara dan penciptaan nilai politik yang lebih inklusif.

Pertama, Ismail Sabri dapat mengekalkan keharmonian antara Perikatan Nasional dan BN dalam kerajaan.



Konsep Keluarga Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri menjadi bukti ia mampu diterima rakyat.

Beliau juga mengambil langkah berani untuk merentasi jurang politik sejurus selepas menjadi Perdana Menteri.

Ini kemudian disusuli dengan memorandum persefahaman (MOU) antara gabungan kerajaan persekutuan dan pembangkang Pakatan Harapan, di mana kedua-dua pihak bersetuju mengenai beberapa pembaharuan politik penting, seperti perundingan bersama mengenai belanjawan negara.

Pembaharuan yang paling utama ialah meluluskan undang-undang untuk mengekang lompat parti, sesuatu yang telah menghilangkan kepercayaan orang ramai terhadap demokrasi di negara ini.

Kerajaan negeri Melaka yang baharu akan melaksanakannya tidak lama lagi, bagi memenuhi janji dalam manifesto pilihan raya selain untuk memastikan kestabilan politik di negeri itu bagi memenuhi kehendak rakyat yang mahukan kerajaan yang stabil, boleh membawa kemajuan dan bukannya sibuk dengan perbalahan politik selain kerap berlaku perubahan kepimpinan.

Antara pembaharuan dalam manifeto yang dilaungkan di Melaka dalam usaha menggalakkan kestabilan politik dan keharmonian melalui semangat Keluarga Malaysia ialah janji manifesto pilihan raya BN Melaka mengenai dana negeri yang sama rata untuk semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tanpa mengira parti.

Ini telah pun dilaksanakan di Perak (dan Johor baru-baru ini) sehingga Sultan Perak iaitu Sultan Nazrin Muizzuddin Shah memujinya sebagai budaya politik yang lebih baik dan matang. Ia akan membantu negeri dan rakyat kerana menghadirkan suasana yang kurang konfrontasi sebaliknya saling hormat menghormati.

Kemenangan itu turut mencerminkan sokongan pengundi terhadap moto pilihan rayanya iaitu “kestabilan untuk kemakmuran”.

Ia antara lain janji daripada kerajaan persekutuan untuk pembangunan termasuk 990 projek bernilai RM13.8 bilion di Melaka, di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang dilihat menjadi salah satu faktor dapat menarik minat rakyat ketika negara berada dalam cabaran ekonomi ketika ini.

Pada skala nasional, di bawah RMK-12, kerajaan telah memperuntukkan RM400 bilion untuk projek pembangunan (berbanding RM248.5 bilion di bawah RMK-11) dalam usaha memulihkan ekonomi negara yang terjejas akibat sekatan Covid-19.



Rakyat impikan keharmonian negara dan pemulihan ekonomi selepas diuji pelbagai kesusahan sejak dua tahun kebelakangan ini akibat pendamik Covid-19.

Janji lain termasuk pembinaan 500,000 buah rumah mampu milik.

Bajet 2022 mencerminkan usaha memupuk Keluarga Malaysia yang inklusif berdasarkan nilai kasih sayang, penyayang dan empati.

Kementerian Pendidikan akan menerima peruntukan tertinggi berjumlah RM52.6 bilion. Ini termasuk RM400 juta untuk Rancangan Makanan Tambahan bagi memastikan pelajar miskin mendapat nutrisi harian yang mencukupi.

Inisiatif bajet lain ialah membantu rakyat termasuk RM11.4 bilion diperuntukkan untuk pemerkasaan bumiputera dan JaminKerja, yang bertujuan mewujudkan 600,000 peluang pekerjaan dengan pembiayaan RM4.8 bilion.

Pada 23 Okt 2021, Perdana Menteri Ismail Sabri, menggariskan bahawa Keluarga Malaysia bukan "sekadar retorik", tetapi disokong dengan kewangan yang kukuh, sama seperti kita membantu ahli keluarga yang kurang bernasib baik.

Justeru, tambah beliau, kumpulan B40 dan M40 yang terjejas akibat wabak Covid akan diberi tumpuan dalam bantuan kerajaan, begitu juga negeri kurang maju seperti Sabah, Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis dan Sarawak.

Malah, sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan pembangunan asas di bawah RMK-12 akan diagihkan kepada enam negeri ini, manakala Bajet 2022 memperuntukkan Bantuan Keluarga Malaysia bernilai RM8.2 bilion bagi memanfaatkan 9.6 juta orang.

“Kesamarataan yang kita raikan hari ini akan mencambahkan benih yang akan tumbuh di hati setiap rakyat Malaysia.

“Ini mesti menjadi aset yang perlu kita pertahankan. Oleh itu, nilai Keluarga Malaysia akan menjadi penting untuk menentukan jatuh bangunnya tanah bertuah ini,” ujar Ismail Sabri semasa pelancaran rasmi Keluarga Malaysia pada 8 Oktober lalu.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain