suria

Langkawi terima kemasukan pelancong asing mulai 15 November... wajib penuhi syarat, patuh SOP

Pelancong antarabangsa perlu menjalani ujian PCR Covid-19, 72 jam sebelum berlepas ke Langkawi.

LANGKAWI bakal membuka pintu masuk buat pelancong antarabangsa bermula 15 November ini.

Mengumumkan perkara tersebut, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini akan menjadi projek perintis gelembung pelancongan antarabangsa.

ARTIKEL BERKENAAN: Selesai makan, pakai semula pelitup muka - KJ

Jelasnya satu Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah dibentangkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia telah diluluskan oleh Jawatankuasa khas pengurusan pandemik Covid-19 dalam mesyuarat yang diadakan pada Jumaat.

Projek perintis ini akan berjalan selama tiga bulan bagi membolehkan Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara menilai keberkesanannya sebelum inisiatif ini diperluas ke pulau dan destinasi pelancongan lain.

"Kumpulan sasaran kita adalah pelancong asing pendapatan tinggi dan individu yang telah mendapat vaksinasi lengkap. Kanak-kanak di bawah usia 18 tahun perlu hadir bersama ibu bapa atau penjaga yang telah menerima vaksinasi lengkap.

"Pelancong antarabangsa yang berhasrat menggunakan kemudahan gelembung perlancongan ini mestilah memenuhi semua syarat dan mengikuti semua SOP," katanya.

Senarai negara yang dibenarkan memasuki Malaysia untuk tujuan ini adalah tertakluk kepada keputusan Jabatan Imigresen, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Luar Negeri.

Antara SOP yang perlu diikuti adalah, pelancong perlulah tinggal sekurang-kurangnya tiga hari namun mereka yang melancong menggunakan gelembung perlancongan ini tidak perlu menjalani kuarantin.

Mereka perlu menjalani ujian PCR Covid-19, 72 jam sebelum berlepas dan dan memiliki insurans minimum AS $ 80,000 (RM332,058).

Pelancong antarabangsa perlu menggunakan perkhidmatan agen pelancongan di bawah kementerian pelancongan, dan jika mereka tiba melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, mereka perlu menjalani ujian rapid molecular testing.

Sekiranya mereka berlepas terus ke Langkawi, mereka perlu menjalani ujian RT-PCR pada hari kedua selepas ketibaan mereka.

Mereka yang tinggal di pulau berkenaan selama tiga hari boleh menggunakan keputusan ujian yang diambil pada hari kedua untuk tujuan berlepas balik namun mereka yang tinggal lebih dari lima hari perlu menjalani ujian saringan pada hari kelima.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Berkaitan

Artikel Lain