suria

Najib bantu PRN Melaka, tangguh perjalanan lawat anak di Singapura

Najib akan berangkat ke Singapura selepas selesai menjalankan tugasnya di Malaysia. foto:BERNAMA

BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menangguhkan perjalanannnya ke Singapura bagi membantu Umno dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada November ini.

Najib telah dibenarkan mendapat akses sementara pasportnya oleh Mahkamah Rayuan pada 18 Oktober untuk ke Singapura atas tujuan melawat anak perempuannya, Nooryana Najwa yang akan melahirkan cahaya mata kedua.

Dalam notis usulnya yang dipinda, Najib meminta perintah mahkamah agar pasportnya dikembalikan kepadanya pada 25 Oktober hingga 12 Disember.

ARTIKEL BERKAITAN: Najib bawa keluar perabot termasuk candelier – Muhyiddin

Dalam permohonan awal yang dibenarkan, Najib akan mendapat akses ke pasportnya dari 20 Oktober dan ia harus dikembalikan pada 22 November.

Bekas presiden Umno itu mengatakan dalam afidavit sokongannya bahawa setelah mendapat persetujuan Mahkamah Rayuan, dia diberitahu mengenai perkembangan pilihan raya negeri yang akan berlaku pada 20 November sementara hari penamaan calon adalah pada 8 November.

"Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan berangkat ke Jerman untuk mendapatkan rawatan perubatan pada waktu tersebut dan saya diberi kepercayaan untuk memastikan bahawa Umno akan bertindak dengan teratur dan sesuai semasa ketiadaannya ketika pilihan raya negeri Melaka,

"Oleh itu, saya harus menangguhkan perjalanan ke Singapura sehingga selepas pilihan raya negeri pada 20 November.

"Saya meletakkan kepercayaan pada isteri saya Datin Seri Rosmah Mansor yang akan pergi ke Singapura terlebih dahulu untuk memantau keadaan Nooryana ketika saya menjalankan tugas di Malaysia,.

"Saya akan menyusul ... sebaik sahaja menyelesaikan kewajipan saya di sini," katanya dalam afidavitnya.

Semasa proses mahkamah terbuka di sini pada Jumaat, peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memberitahu mahkamah bahawa mereka telah mengemukakan permohonan untuk mengubah tarikh perjalanan.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Ashrof Adrin berkata pihak pendakwaan akan menunggu arahan daripada Peguam Negara.

Hakim Mahkamah Tinggi, Hakim Mohamed Zaini Mazlan kemudian menetapkan Selasa depan untuk mendengar permohonan itu.

Pada 15 Oktober, Hakim Mohamed Zaini membenarkan permohonan Rosmah untuk akses sementara pasportnya atas tujuan ke Singapura antara 22 Oktober hingga 21 November. Dia diperintahkan untuk mengembalikan pasportnya ke mahkamah pada atau sebelum 6 Disember.

Rosmah menghadapi satu tuduhan meminta wang berjumlah RM187.5 juta dan dua tuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta dari bekas pengarah urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin, yang didakwa melalui bekas pembantunya, Datuk Rizal Mansor; sebagai ganjaran untuk membantu syarikat itu mendapatkan projek hibrid solar untuk 369 sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion dari Kementerian Pendidikan melalui rundingan langsung.

Di mahkamah yang sama, Najib diadili kerana didakwa menggunakan kedudukannya untuk memerintahkan pindaan laporan audit akhir 1Malaysia Development Bhd (1MDB) sebelum dikemukakan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam untuk mengelakkan tindakan diambil terhadapnya. THE STAR

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Berkaitan

Artikel Lain