suria

Vaksinasi pelajar sekolah bermula 20 September

KKM bersama KPM akan memastikan semua pihak yang terbabit sudah menerima suntikan lengkap vaksin Covid-19, susulan pembukaan sekolah pada 3 Oktober ini. — The Star.

PELAJAR sekolah antara kumpulan remaja berusia 12 hingga 17 tahun di negara ini yang akan terbabit dalam program vaksinasi bermula Isnin ini.

Sementara itu, proses vaksinasi akan dilaksanakan secara terus di premis masing-masing bagi sekolah yang mempunyai lebih 1,000 pelajar.

Manakala, sekolah yang mempunyai kurang daripada 1,000 pelajar, akan disatukan dengan empat atau lima sekolah lain, bagi memastikan program vaksinasi itu berjalan lancar.

Timbalan Menteri Kesihatan 1, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, langkah itu sebagai persediaan terutama bagi sekolah di kawasan luar bandar supaya 80 peratus kadar vaksinasi remaja dapat diselesaikan sebelum sesi persekolahan 2022.

Dr Noor Azmi yang juga Pengerusi Pasukan Bertindak Imunisasi Covid-19 Remaja (CITF-A) berkata, program akan bermula secara besar-besaran mulai Isnin ini (20 September).

"Tujuan empat atau lima sekolah dikumpulkan sekali adalah kerana kita mahu ada 1,000 pelajar supaya program vaksinasi dapat dilakukan dengan cepat pada satu tempat.

"Bagaimanapun bagi pelajar yang terlepas tarikh atau tidak dapat hadir ketika temujanji diberi, mereka boleh mendapatkan suntikan vaksin di klinik swasta supaya mereka tidak ketinggalan program," katanya.

Dr Noor Azmi berkata, pelancaran vaksinasi akan dibuat di Presint 18 Putrajaya dan dijangka berjalan sepanjang tempoh tiga bulan ini bagi membolehkan 3.2 juta kanak-kanak memperoleh perlindungan vaksin di mana 1.1 juta daripadanya adalah kalangan yang berusia 16 dan 17 tahun.

"Kita berharap dapat mencapai 60 peratus daripada kumpulan usia ini mendapatkan sekurang-kurangnya satu dos dan sebelum sesi persekolahan tahun depan bermula iaitu mencapai 80 peratus menerima suntikan lengkap.

"Bagi negeri ada kemampuan dan mendapat kebenaran daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mereka akan teruskan dan KKM membuat pemantauan dari masa ke masa," katanya.

Mengulas lanjut mengenai sesi pembukaan sekolah pada 3 Oktober ini, KKM bersama Kementerian Pendidikan (KPM) akan memastikan semua pihak yang terbabit dengan sekolah sudah menerima suntikan lengkap vaksin Covid-19.

"Syarat ini bagi memastikan keselamatan pelajar yang kembali ke sekolah dan ada antara mereka yang baru mendapat dos pertama selamat.

"Ini kerana kita mahu persekitaran atau ekosistem sekolah selamat, jadi semua yang terbabit iaitu guru, kakitangan, pengendali kantin, pengawal keselamatan dan sebagainya, mesti sudah menerima suntikan lengkap sebelum memulakan tugas," katanya.

Pada Rabu lalu, KKM mengumumkan pihaknya membangunkan portal pendaftaran institusi pendidikan, Portal Vaksin-Anak-Ku sebagai langkah awal dalam pemberian vaksin Covid-19 kepada remaja dengan keutamaan mereka berumur 16 dan 17 tahun yang akan menduduki peperiksaan awam serta remaja dengan komorbid.

"Bagi golongan kanak-kanak rentan, KKM akan menggerakkan pasukan jangkau luar (outreach) yang berbeza dengan murid yang kebanyakan dibuat di sekolah, klinik swasta," katanya.

Katanya, pada ketika ini, hanya vaksin Comirnaty keluaran Pfizer Bio-NTech mendapat kelulusan berstatus pendaftaran bersyarat oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) sementara Sinovac sedang menunggu kelulusan.

Ini kerana katanya, hanya dua jenis vaksin itu didapati sesuai untuk diberikan pada golongan kanak-kanak berikutan data mengenai kesan sampingan yang rendah.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

vaksinasi, pelajar sekolah, Covid-19

Artikel Berkaitan

Artikel Lain