suria

Isu ruang udara diceroboh: China didakwa gagal jadi jiran baik, tapi rakyat Malaysia usah bimbang

Gambar pesawat LUYSHIN LL-76 yang dipintas oleh pesawat TUDM

RAKYAT di seluruh negara tidak perlu khuatir dengan laporan mengenai kehadiran 16 pesawat Tentera Udara Republik Rakyat China (PLAAF) yang dilaporkan memasuki ruang udara Zon Maritim Malaysia, Kota Kinabalu FIR serta menghampiri ruang udara nasional semalam.

Bekas profesor undang-undang antarabangsa Leftenan Kolonel (bersara) Ahmad Ghazali Abu-Hassan percaya pihak berkuasa China tidak akan mengambil tindakan lebih jauh khususnya setelah menerima mesej tegas daripada kerajaan Malaysia melalui Kementerian Luar semalam.

“Kita perlu ingat China perlukan kawan, begitu juga dengan Amerika Syarikat dan kita antara rakan paling strategik apabila melibatkan laluan di Laut Cina Selatan.

ARTIKLE BERKAITAN: TUDM pintas 16 pesawat tentera China hampiri ruang udara Malaysia

ARTIKLE BERKAITAN: Pesakit Covid-19 di Maeps ‘buat hal’ tak nak balik rumah, sayang nak tinggal menu kayangan - “Kalau dari awal dah negatif, memang tak gembira”

“China juga pasti ingin mengekalkan imej mereka sebagai salah sebuah negara yang tidak pernah menjajah negara lain, ” katanya ketika dihubungi mStar.

Semalam, Panglima Tentera Udara (PTU) Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad berkata pesawat PLAAF itu dikesan Radar Pertahanan Udara TUDM di Sarawak pada jam 11.53 pagi.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Sementara itu Wisma Putra dalam kenyataan berkata satu nota bantahan diplomatik akan dihantar kepada China dan Duta Besar China ke Malaysia akan turut dipanggil bagi menjelaskan berhubung tindakan pesat PLAAF itu yang turut disifatkan sebagai “pencerobohan ruang udara dan kedaulatan Malaysia”.

Betul, mereka tidak masuk ke dalam rumah atau halaman rumah, tapi mereka berada di hadapan pintu rumah kita, jadi adakah ia menceroboh masuk?

AHMAD GHAZALI ABU-HASSAN

LEFTENAN KOLONEL (BERSARA)

Kedutaan Besar China di Malaysia bagaimanapun dilaporkan mendakwa bahawa tindakan 16 pesawat tersebut sebagai latihan penerbangsan biasa dan ianya tidak melanggar undang-undang antarabangsa.

Bercakap mengenai perkara ini, Ahmad berkata pesawat terbabit melalui Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) negara yang mana undang-undang membenarkan pesawat luar untuk melaluinya.



Laluan yang dilalui pesawat milik China sebelum dipintas pesawat Malaysia.

“Dia mungkin tak langgar undang-undang macam apa yang didakwa tapi kapal terbangnya hanya 80 batu dari pantai Sarawak, 86 batu dengan kapal terbang, tak sampai berapa minit dah sampai, jadi itu dah nampak cubaan untuk menakut-nakutkan dan ini tidak seharusnya dilakukan terhadap Malaysia yang dianggap sebagai negara bersahabat, ” katanya.

Malahan, China juga pernah memintas kapal terbang Amerika apabila kapal terbang peninjau mereka berada lebih kurang 100 batu nautika daripada Pulau Hainan pada tahun 2001.

Menurut Ahmad, isu ini tidak boleh dilihat berdasarkan undang-undang antarabangsa semata-mata sebaliknya ianya perlu dilihat daripada perspektif hubungan diplomatik dan prinsip hubungan baik sesama negara jiran.

“Betul, mereka tidak masuk ke dalam rumah atau halaman rumah, tapi mereka berada di hadapan pintu rumah kita, jadi adakah ia menceroboh masuk? Tidak. Tapi kita perlu ingat semula prinsip hubungan diplomatik yang baik, yang mana kita tidak boleh berkelakuan dengan cara yang boleh menimbulkan ketegangan dan mengancam kedaulatan negara lain, jadi di sini China gagal jadi jiran yang baik, ” katanya.

Beliau turut meminta supaya kerajaan memainkan peranan untuk memastikan masyarakat mendapat maklumat yang lengkap dan tepat bagi mengelakkan spekulasi terutama sekali di media sosial.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Lain