suria

TUDM pintas 16 pesawat tentera China hampiri ruang udara Malaysia

TUDM memintas pesawat milik tentera China yang cuba memasuki ruang udara negara pada Isnin.

TENTERA Udara Diraja Malaysia (TUDM) mengesan 16 pesawat milik tentera China memasuki ruang udara Malaysia pada Isnin (31 Mei).

"TUDM mengesahkan telah mengesan 16 pesawat Tentera Udara Republik Rakyat China (PLAAF) memasuki ruang udara Zon Maritim Malaysia (ZMM) dan menghampiri ruang udara nasional," katanya dalam satu kenyataan Selasa (1 Jun).

"Pesawat itu dikesan terbang dalam formasi taktikal 'in-trail' sekitar 60 batu nautika (111km) antara satu sama lain," kata kenyataan itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Ackbal Panglima TUDM yang baharu

Ia menambah bahawa pesawat tersebut dikesan terbang pada ketinggian di antara 23,000 kaki sehingga 27,000 kaki dengan kelajuan 290 knots melalui Singapore FIR sebelum memasuki ruang Zon Maritim Malaysia (ZMM) Kota Kinabalu FIR.

Susulan kejadian itu, pihak TUDM telah meletakkan pesawat Hawk 208 daripada No. 6 Skuadron, Pangkalan Udara Labuan dalam keadaan siap sedia melalui Operasi Curiga TUDM.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Jelasnya, pemantauan menerusi radar pertahanan udara diteruskan ke atas pesawat-pesawat tersebut di samping beberapa percubaan untuk mengarahkan mereka menghubungi kawalan trafik udara KK FIR.

"Apabila arahan tidak dipatuhi dan didapati melangkaui persempadanan KK FIR menghala ke ruang udara nasional, TUDM telah melancarkan pesawat-pesawat pemintas pada jam 1.33 petang waktu tempatan untuk melakukan identifikasi visual.

"Hasil daripada pemintasan udara yang dilaksanakan, TUDM telah mengenal pasti pesawat-pesawat tersebut daripada jenis Ilyushin Il-76 dan pesawat Xian Y-20 yang merupakan pesawat pengangkut strategik dan berupaya melaksanakan pelbagai misi," katanya.

TUDM menegaskan insiden tersebut merupakan ancaman serius terhadap kedaulatan negara dan keselamatan penerbangan, dan menambah Kementerian Luar Negeri juga telah dimaklumkan mengenainya. - THE STAR

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Lain