suria

Sumbangan di bulan Ramadan sebagai pembakar semangat menimba ilmu, kali ini Agrobank bersama mStar raikan penuntut UPM

Ketua Pegawai Operasi Agrobank, Zahid Ahmad Zawawi (kiri) menyerahkan sumbangan Kongsi Nikmat Agrobank bersama mStar 2021 kepada Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPM, Profesor Dr. Arifin Abdu (kanan).

PEJAM celik pejam celik, sudah masuk hari ke-21 Ramadan dan ramai di antara kita sudah mula sibuk dengan persiapan untuk merayakan Aidilfitri.

Walaupun begitu, Program Kongsi Nikmat 2021 kerjasama Agrobank dan mStar masih diteruskan dengan pengagihan juadah berbuka dan kali ini melibatkan pelajar di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Seramai 200 pelajar yang terlibat dalam penerimaan sumbangan yang diagihkan oleh Ketua Pegawai Operasi Agrobank, Zahid Ahmad Zawawi; Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPM, Profesor Dr. Arifin Abdu dan pendakwah selebriti Mohamad Amirul Amin Maula Lokman Hakim atau lebih dikenali sebagai Pencetus Ummah (PU) Amin.



Sebahagian dari 200 pelajar yang menerima sumbangan Kongsi Nikmat 2021.

Menurut Zahid, mereka memilih institusi tersebut kerana UPM dan Agrobank mempunyai satu persamaan dimana kedua-duanya memberi fokus terhadap bidang pertanian.

“Saya berharap sumbangan kepada pelajar pada hari ini dapat sedikit sebanyak menaikkan semangat mereka sebagai pelapis industri dan sama-sama meningkatkan kualiti pertanian di Malaysia, ” katanya pada majlis berkenaan yang berlangsung baru-baru ini.

Salah seorang penerima sumbangan adalah pelajar jurusan Bacelor Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik dengan kepujian, Wan Ahmad Aiman Wan Daud berkata, ia adalah program yang hebat kerana pihak Agrobank dan mStar membantu pelajar yang kurang berkemampuan untuk menikmati juadah berbuka puasa.



Nur Khairina Ahmad (dua,kanan) merupakan salah seorang penerima sumbangan dari Ketua Pegawai Operasi Agrobank, Zahid Ahmad Zawawi (kiri).

Bagi pelajar jurusan Bacelor Sains (Pembangunan Sumber Manusia), Nur Khairina Ahmad Hatta pula, program ini dapat membuat pelajar rasa tidak tersisih dari masyarakat kerana diberi sumbangan dan dorongan untuk meneruskan pelajaran.



PU Amin turut dijemput untuk memimpin bacaan doa dan mengagihkan makanan kepada pelajar.

Menerusi program Kongsi Nikmat 2021 yang pertama pada April lalu, Agrobank bersama mStar mengagihkan makanan kepada petugas barisan hadapan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Maeps, Serdang.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Kongsi Nikmat, mStar, Agrobank, UPM

Artikel Lain