suria

Klip video lagu raya ajak orang ramai main judi, pelakon Melayu juga bersubahat! Tak hirau sensitiviti umat Islam

Tangkapan skrin daripada video iklan raya mempromosikan aktiviti judi yang tular di media sosial.

KEMUNCULAN sebuah iklan yang mempromosikan aktiviti perjudian dengan menggunakan lagu hari raya Aidilfitri sebagai muzik latar, mengundang kecaman netizen gara-gara menyinggung sensitiviti umat Islam.

Iklan yang dikeluarkan sebuah syarikat judi berjudul GDBet333 Hari Raya berdurasi dua minit itu turut dikecam kerana menggunakan pelakon dipercayai beragama Islam.

ARTIKEL BERKAITAN: Iklan judi Aidilfitri: Pendakwah bimbang perkara tak baik dinormalisasi, gesa tindakan segera - "Tetap haram, tak OK 'dicucikan' dengan ucapan Selamat Hari Raya"

Iklan tersebut mengajak orang ramai meraih wang berganda dengan menggunakan perkhidmatan syarikat mereka bagi mencari dana untuk berhari raya.

Difahamkan, video iklan tersebut dimuat naik hampir seminggu lalu di YouTube.

Namun hasil carian di laman berkenaan mendapati iklan tersebut sudah dipadamkan kerana melanggar garis panduan komuniti YouTube.

Bagaimanapun di laman Twitter, rata-rata netizen meluahkan rasa marah dengan tindakan selamba syarikat berkenaan yang langsung tidak mengambil kira sensitiviti umat Islam.



Tangkapan skrin salah satu babak dalam iklan tersebut.

"Sukar nak percaya macam mana syarikat buat iklan raya. Atau memang ramai Muslim yang main (judi)?

"Korang tak kaya main benda ni, yang kaya cuma tauke perangai macam ni. Korang terduduk termenung gaduh dengan suami isteri duit tak cukup sebab kalah judi.

"Pelakon yang ambil job pun satu hal," demikian antara komen netizen.

Apakah pihak berkuasa tidak peka dengan iklan seumpama ini, lebih-lebih lagi di bulan Ramadan yang mulia ini ketika umat Islam menjalani ibadah puasa, sekali gus promosi itu menghina agama Islam.

Sesungguhnya hal-hal berkaitan keagamaan adalah aspek yang begitu sensitif dan perlu mendapat perhatian semua pihak bagi tidak menyinggung mana-mana pihak.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain