suria

Awas! Anda diperhatikan di bazar Ramadan, PBT boleh kompaun jika langgar SOP

Pengunjung bazar Ramadan di Seksyen 13, Shah Alam mematuhi SOP dengan memakai pelitup muka dan melakukan penjarakkan fizikal. foto IZZRAFIQ ALIAS/The Star

AWAS! Kegagalan individu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) di bazar Ramadan bakal berdepan dengan tindakan kompaun daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) selain Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, KKM menurunkan kuasa mengkompaun kepada Datuk Bandar, Yang Dipertua dan Pegawai Penguatkuasa PBT Gred 19 ke atas bagi kesalahan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) berkuat kuasa Rabu.

"Mereka boleh mengkompaun apa-apa kesalahan di bawah Akta 342 termasuk sebarang ketidakpatuhan SOP di bazar-bazar Ramadan.

"Ia kerana Majlis Keselamatan Negara (MKN) menerima beberapa aduan orang ramai mengenai ketidakpatuhan SOP di bazar Ramadan di beberapa lokasi di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Ismail Sabri menegaskan, perkara itu dipandang serius kerana penularan wabak Covid-19 masih berada di tahap membimbangkan.

"Sehubungan itu, PBT digesa untuk mengambil tindakan sewajarnya dalam memastikan pelaksanaan SOP yang dikeluarkan oleh MKN dan KKM dipatuhi sepenuhnya.

"Orang ramai juga diminta memberi kerjasama kepada PBT dalam membantu negara melandaikan lengkuk penularan wabak Covid-19," katanya. - Sinar Harian

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain