suria

Skandal daging import: 2 pengarah syarikat didakwa guna logo halal palsu

Dua pengarah syarikat didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru di atas tuduhan menggunakan logo halal tanpa diperakui sebagai halal oleh pihak berkuasa. Gambar hiasan

DUA pengarah syarikat pembekal daging didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada Rabu, di atas tuduhan menggunakan logo halal tanpa diperakui sebagai halal oleh pihak berkuasa pada kenderaan mereka.

Tertuduh, Rahman Sheikh Abdullah, 44, dan isterinya, Raihanah Kasim, 42, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Mohd Haidar Abd Aziz.

Mengikut pertuduhan, syarikat yang dimiliki pasangan tersebut, Raihanah Cold Storage Sdn Bhd didakwa menggunakan logo halal tanpa diperakui halal oleh pihak berkuasa pada lori syarikat.

ARTIKEL BERKAITAN: Ramai bimbang isu kartel daging, kerajaan setuju tubuh RCI - “Yang salah tetap akan salah”

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan di premis berkenaan di Jalan Perniagaan Stia 6 di Taman Perniagaan Setia, Johor Bahru, kira-kira pukul 1 petang pada 1 Disember lalu.

Pendakwaan dijalankan mengikut Perenggan 8(a) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 yang boleh dihukum di bawah Perenggan 8 (A) perintah yang sama.

Jika sabit kesalahan, syarikat itu boleh didenda maksimum RM200,000 dan bagi kesalahan kedua serta seterusnya, didenda sehingga RM500,000.

Bagi pertuduhan kedua, Rahman dan Raihanah selaku pengarah syarikat Raihanah Enterprise didakwa melakukan kesalahan sama di sebuah lori model yang berbeza di lokasi dan waktu yang sama.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Perenggan 8(a) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 yang boleh dihukum di bawah Perenggan 8 (B) perintah yang sama dan dibaca bersama Sesyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya dan bagi kesalahan kedua serta seterusnya, didenda sehingga RM200,000 atau penjara maksimum lima tahun.

Hakim Mohd Haidar membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin sebanyak RM 40,000 setiap seorang dan menetapkan 19 Januari depan bagi sebutan semula kes. - THE STAR

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain