suria

PKPB di Selangor, KL, Sabah dilanjutkan hingga 14 Januari 2021

Peningkatan kes Covid-19 di Selangor, Kuala Lumpur dan Sabah menyebabkan tempoh PKPB dilanjutkan. -gambar hiasan

PELAKSANAAN Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor dan Kuala Lumpur yang sepatutnya berakhir pada 31 Disember 2020 dilanjutkan mulai 1 Januari sehingga 14 Januari 2021.

Perkara itu diumumkan oleh Menteri Kanan (Keselamatan), Datul Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media, petang Isnin.

Ismail Sabri berkata, tempoh PKPB dilaksanakan di seluruh Selangor itu berikutan semua daerah di negeri itu kini didapati zon merah Covid-19.

Beliau berkata, lanjutan tempoh itu susulan peningkatan kes harian Covid-19 di Selangor dan Kuala Lumpur.

"Bagi Selangor, kerajaan sebelum ini melaksanakan tempoh PKPB di Selangor kecuali di daerah Hulu Selangor, Kuala Selangor dan Sabak Bernama, yang dijadualkan tamat pada 31 Disember 2020.

"Hari ini, KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) memaklumkan pergerakan kes di Selangor bagi tempoh 14 hari dari 14 Disember hingga 27 Disember 2020 secara kumulatif adalah sebanyak 29,272 kes positif Covid-19 direkodkan.

"Bagi tempoh 14 hari ini, Selangor merekodkan 8,194 kes Covid-19 yang baharu dan kesemua sembilan daerah di Selangor telah menjadi zon merah," kata beliau.

Mengenai perkembangan kes Covid-19 di Kuala Lumpur, Ismail Sabri berkata, secara kumulatif dari 14 Disember sehingga 27 Disember 2020, sebanyak 12,494 kes positif direkodkan.

"Bagi tempoh 14 hari ini, Kuala Lumpur merekodkan sebanyak 4,379 kes positif Covid-19 baharu.

"KKM turut mengesahkan masih terdapat peningkatan ketara kes positif Covid-19 di Kuala Lumpur dan wujud beberapa kluster baharu yang melibatkan wilayah ini," tambah beliau.

Menurut Ismail Sabri, PKPB di Sabah juga dilanjutkan sehingga 14 Januari 2021 berikutan peningkatan jumlah kes harian Covid-19 di negeri itu.

Berikut adalah perkembangan PKPB yang diputuskan pada Isnin:

1. PKPB dilanjutkan di Mukim 12 Barat Daya dan Mukim Timur Laut Pulau Pinang sehingga 14 Januari 2021.

2. PKPB dilanjutkan di seluruh Selangor sehingga 14 Januari 2021.

3. PKPB dilanjutkan di seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sehingga 14 Januari 2021.

4. PKPB dilanjutkan di Seremban, Negeri Sembilan sehingga 14 Januari 2021.

5. PKPB ditamatkan di Port Dickson, Negeri Sembilan pada 28 Disember 2020.

6. PKPB dilanjutkan di Johor Bahru dan Batu Pahat di Johor sehingga 14 Januari 2021.

7. PKPB ditamatkan di Kulai, Johor pada 28 Disember 2020.

8. PKPB dilanjutkan di seluruh Sabah sehingga 14 Januari 2021.

9. PKPB ditamatkan di Ipoh dan Chemor, Mukim Hulu Kinta pada 28 Disember 2020.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain