suria

Dari Amerika, Datuk Bandar Eastvale titip ucapan sempena hari graduasi sekolah rendah di Alor Setar

Jocelyn Yow, wanita berketurunan Malaysia-Vietnam-Cina-Amerika kini bergelar Datuk Bandar Eastvale.

MURID-MURID SJK (C) Keat Hwa (K) di Alor Setar, Kedah, mendapat kejutan menggembirakan ketika hari graduasi mereka yang diadakan secara dalam talian (online) baru-baru ini.

Mana tidaknya, mereka menerima ucapan daripada 'orang jauh' yang kini berada di Amerika Syarikat, iaitu Datuk Bandar Eastvale, Jocelyn Yow.

Yow, wanita berketurunan Malaysia-Vietnam-Cina-Amerika merupakan bekas pelajar yang menamatkan pengajian di sekolah berkenaan pada tahun 2006.

ARTIKEL BERKAITAN: Sejarah tercipta! Wanita berdarah kacukan Malaysia-Vietnam bergelar Datuk Bandar termuda di California

Beliau menjadi perhatian baru-baru ini selepas dipilih sebagai Datuk Bandar Eastvale, menjadikannya wanita termuda yang pernah dilantik sebagai Datuk Bandar di California.

Dalam video berdurasi 1 minit 40 saat itu, Yow, 25, yang bercakap dalam bahasa Mandarin berkongsi tentang perasaannya ketika menamatkan pelajaran di sekolah tersebut, 14 tahun yang lalu.

Dalam ucapannya, Yow menggalakkan para pelajar mengasah kemahiran lain selain pencapaian akademik, dengan menekankan kepentingan terhadap kemahiran kepimpinan.

"Akan ada saat-saat di mana anda mungkin merasa sedikit tekanan ketika memasuki sekolah menengah. Walaupun keputusan sekolah adalah penting, kemahiran kepemimpinan sama pentingnya.

"Saya telah belajar banyak perkara ketika menjadi ahli Pandu Puteri. Pengalaman itu membantu membentuk watak saya,"katanya.

Yow juga mengingatkan murid-murid untuk melihat diri mereka sebagai individu yang 'unik'.

"Ketika anda bersekolah menengah, ada ribuan pelajar yang bersama anda. Semasa anda berada di universiti, terdapat 10,000 pelajar dengan anda.

"Semasa anda bekerja, ada berjuta-juta orang bersama anda. Dunia ini besar tetapi yang paling penting, anda harus percaya pada diri sendiri, dan berani menjadi diri sendiri,"katanya.

Yow berkata seseorang tidak akan dapat meyakinkan orang lain sekiranya dia tidak percaya kepada diri sendiri terlebih dahulu, selain memberitahu para pelajar supaya tidak takut gagal.

"Apabila kita dewasa, kita akan tersadung dan jatuh. Kita harus mempunyai keberanian dan keyakinan untuk berdiri kembali bagi menghadapi cabaran.

"Saya harap anda semua akan mengejar impian anda dengan bersungguh-sungguh," kata Yow sambil turut mengucapkan terima kasih kepada bekas guru kelasnya, Yang Li Zhen.

Yow mempunyai darah Malaysia di sebelah bapanya, manakala ibunya pula berasal dari Vietnam.

Ibu bapanya berpindah ke Amerika Syarikat (AS) pada tahun 1990-an.

Yow secara rasmi mengangkat sumpah dua minggu lalu sebagai Datuk Bandar Eastvale.

Yow dipilih ke Majlis Bandaraya Eastvale pada tahun 2018 dan berkhidmat sebagai Datuk Bandar sementara.

Menurut CBS Los Angeles, Yow adalah lulusan Norco College dan UC Berkeley dan kini sedang melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana di Harvard Extension. - THE STAR

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain