suria

Covid-19: Lonjakan kes di Melaka kerana kemasukan banduan dari penjara Kajang, Sungai Buloh

Sebanyak 98 kes dilaporkan pada Khamis yang membabitkan banduan di Pusat Koreksional Jasin (PKJ) susulan pemindahan tahanan dari penjara Kajang dan Sungai Buloh. Gambar hiasan

PENINGKATAN kes positif Covid-19 di Melaka adalah disebabkan oleh kemasukan banduan dari dua penjara luar, kata Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Ketua Menteri Melaka itu memberitahu, sebanyak 98 kes dilaporkan pada Khamis yang membabitkan banduan di Pusat Koreksional Jasin (PKJ) susulan pemindahan tahanan dari penjara Kajang dan Sungai Buloh.

"Jumlah kes yang tinggi didaftarkan di PKJ, di mana tahanan yang dipindahkan mempunyai hubung kait dengan kluster Covid-19 di kawasan mereka sebelumnya.

"Tidak ada jangkitan dalam kalangan masyarakat setempat," katanya.

Sulaiman berkata kemasukan tahanan dari penjara luar telah memenuhi PKJ.

Ujarnya, terdapat 880 tahanan yang dipindahkan ke pusat tersebut antara 22 November dan 16 Disember.

Tambah Sulaiman, sehingga 16 Disember, terdapat sejumlah 35 tahanan positif Covid-19 yang dirujuk ke Hospital Melaka.

"Keadaan semua tahanan yang mendapatkan rawatan stabil," katanya.

Pada 17 Disember, Sulaiman mengatakan terdapat 98 banduan diuji positif Covid-19, menjadikan jumlah keseluruhan 133 kes banduan disahkan positif virus berkenaan.

Dari jumlah itu, dia mengatakan 110 adalah penduduk tempatan dan 23 adalah warga asing.

"Saya ingin menekankan bahawa peningkatan kes hanya terbatas pada kelompok penjara dan bukan di dalam komuniti," tambahnya. - THE STAR

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain