suria

1,220 pesakit Covid-19 baharu, Selangor rekod kes harian tertinggi pada Khamis

Sehingga hari ini, 1,297 kes telah pulih dan dibenarkan discaj. foto: MUHAMAD SHAHRIL ROSLI/The Star

PENULARAN wabak Covid-19 di negara ini merekodkan 1,220 kes baharu, menjadikan keseluruhan 89,133 kes setakat Khamis.

Daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat enam kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara manakala penularan dalam negara pula adalah sebanyak 1,214 kes.

ARTIKEL BERKAITAN: Tujuh lagi kematian... Selangor masih mendahului carta jangkitan tertinggi, Malaysia rekodkan 1,295 kes baharu

Negeri Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 368 kes, diikuti oleh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang melaporkan sebanyak 297 kes dan negeri Sabah sebanyak 184 kes

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, tiga kes kematian akibat Covid-19 direkodkan hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan 432 kes kematian.

"Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, dimaklumkan tiga kes kematian berkaitan Covid-19 setakat ini.

"Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia sebanyak 432 kes," ujarnya menerusi satu kenyataan.

Sehingga hari ini, 1,297 kes telah pulih dan dibenarkan discaj menjadikan 74,030 kes keseluruhan pulih di Malaysia.

Untuk rekod semasa, 106 kes positif Covid-19 kini dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan 53 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Berikut perincian kes kematian hari ini:

1) Lelaki warganegara, 36 tahun, mempunyai penyakit kencing manis, darah tinggi, dan buah pinggang kronik. Meninggal dunia di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom, Kluang.

2) Lelaki warganegara, 55 tahun, penyakit kencing manis, darah tinggi dan jantung. Meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu.

3) Lelaki bukan warganegara, 81 tahun, penyakit darah tinggi, buah pinggang kronik, jantung dan gout. Jenazah dibawa ke Hospital Duchess of Kent, Sandakan.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain