suria

Kontraktor, subkontraktor SUKE didenda RM180,000 susulan kes wanita nyaris maut kereta dihempap konkrit

Keadaan kereta mangsa yang remuk teruk selepas dihempap konkrit daripada struktur pembinaan SUKE. Foto: Facebook Info Roadblock JPJ/POLIS

MENTERI Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof memaklumkan bahawa kontraktor utama dan subkontraktor projek Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) telah dikenakan denda RM180,000 susulan kes seorang wanita yang nyaris maut apabila kereta dipandunya dihempap batu konkrit di lebuh raya itu pada September.

Menurut Fadillah, denda tersebut adalah kerana kegagalan memastikan keselamatan di tapak binaan lebuh raya itu.

Ujarnya, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) telah menjalankan satu prosiding Tindakan Tatatertib Kontraktor pada 17 November lalu dan menjatuhkan hukuman penalti terhadap kontraktor utama dan subkontraktor projek SUKE Pakej CA2.

ARTIKEL BERKAITAN: Berpantang maut sebelum ajal... wanita terselamat, kereta dihempap batu konkrit

"Kontraktor utama iaitu MRCB Builders Sdn Bhd dikenakan penalti RM80,000 manakala subkontraktor Makna Setia Sdn Bhd berjumlah RM100,000.

"Kedua-dua kontraktor itu masing-masing didenda mengikut Seksyen 34B(1)(c) dan Seksyen 34C(1) Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia 1994 (Akta 520), iaitu di bawah kewajipan kontraktor dalam memastikan keselamatan bangunan dan kerja pembinaan sama ada semasa atau selepas pembinaan," katanya di Dewan Negara, ketika menjawab soalan

Senator Md Nasir Hashim berhubung tindakan terhadap kontraktor utama susulan kes berkenaan.

Dalam pada itu tambahnya, siasatan CIDB turut mendapati, subkontrator berkenaan gagal mematuhi prosedur kerja yang betul dan diperakui oleh perunding projek, selain tidak menggajikan penyelia tapak yang diakreditasi.

Terdahulu, dalam kejadian pada 19 September lalu, seorang wanita nyaris maut apabila kereta yang dipandunya remuk teruk selepas batu konkrit daripada struktur pembinaan SUKE jatuh menghempap bahagian bumbung di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) di Kuala Lumpur.

Mangsa dilaporkan mengalami kecederaan ringan di bahagian lengan.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

nyaris maut, konkrit, SUKE, MRR2

Artikel Lain