suria

Bukan semua 105 kes positif Covid-19 berpunca dari 1 Utama, saringan 6,000 kakitangan dan penyewa kesan 22 kes setakat ini

1 utama ditutup bermula 11 Oktober setelah beberapa kes positif Covid-19 dikesan.
--fotoBERNAMA

JAWATANKUASA Pengurusan Bencana Daerah Petaling (JPBD) mendedahkan terdapat 105 kes positif dikesan dari Kluster Utama.

Daripada jumlah itu, mereka yang disahkan positif terdiri daripada 79 pengawal keselamatan, lapan pekerja pusat membeli-belah dan 18 pekerja pembersihan, ujar Pengerusi JPBD Petaling, Johary Anuar kepada The Star.

Bagaimanapun, pihak pengurusan pusat beli-belah 1 Utama, dalam satu kenyataan pada hari Khamis menafikan semua kes Covid-19 adalah dari pusat membeli-belah itu sebagaimana yang dinyatakan JPBD.

Jelas kenyataan terbaharu itu, tiada kes indeks dikenalpasti berasal dari pusat beli belah berkenaan.

"Adalah mengelirukan untuk mengatakan bahawa semua kes dalam laporan mereka berasal dari 1 Utama, begitu juga tiada kes indeks dikenalpasti datang dari 1 Utama.

"Kami mahu nyatakan bahawa 44 kes positif melibatkan pengawal keselamatan yang dinyatakan dalam laporan itu bukan berasal dari 1 Utama dan bukan sebahagian 6,000 saringan yang kami jalankan.

"Mereka merupakan pengawal keselamatan kontrak dari sumber luar (penyedia khidmat pihak ketiga) dan Covid-19 dijangkiti di dorm, bukan di premis kami," ujar kenyataan itu.

Dalam kenyataan sama, 1 Utama mendedahkan hasil saringan ke atas 6,000 individu mendapati terdapat 22 kes sahaja kes positif di pusat beli belah tersebut.

Pada Rabu, JPBD mendedahkan wujud 63 kes kluster itu sebelum angka bertambah kepada 105 kes pada Khamis.

Johary dalam satu kenyataan pada hari Rabu turut berkata: "Berdasarkan situasi tersebut, saringan mesti diteruskan untuk semua staf dari pusat membeli-belah itu.

"Mereka yang dikesan positif akan dirawat di hospital dan mereka yang mempunyai kontak rapat dengan mereka yang diuji positif mesti dikuarantin selama 14 hari, diikuti dengan pemeriksaan semula sebelum mereka dapat dibebaskan.

Tambah Johari lagi, pusat membeli belah itu juga perlu mendapatkan khidmat pengawal keselamatan baharu.

Untuk rekod, 1 Utama ditutup bermula 11 Oktober setelah beberapa kes positif Covid-19 dikesan.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain