suria

Bisnes terjejas akibat Covid-19? MyMudah bantu longgarkan peraturan ketat dan kerenah birokrasi

Sektor pembinaan antara yang teruk terjejas akibat pandemik Covid-19. Foto MOHD FAIHAN GHANI

PANDEMIK Covid-19 ternyata memberi impak yang cukup besar bukan sahaja kepada masyarakat di Malaysia, malah ekonomi negara turut terjejas.

Sebahagian aktiviti ekonomi tergendala atau terhenti ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan bermula pada 18 Mac lalu bagi memutuskan rantaian Covid-19.

Sehubungan itu, kerajaan memperkenalkan inisiatif MalaysiaMudah (MyMudah) menerusi Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dan Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) untuk membantu pemilik syarikat dan perniagaan yang dibebani pelbagai peraturan tidak perlu dan kerenah birokrasi.

MPC secara proaktif memudahkan dan memulakan perbincangan awal di antara pemilik perniagaan yang terkesan semasa pandemik dan pihak penguatkuasaan peraturan berkaitan untuk meneliti dan memberikan cadangan penyelesaian bagi mengatasi masalah berkenaan.

Di bawah program MyMudah yang dilancarkan pada 20 Julai 2020, antara inisiatif yang diperkenalkan adalah memansuhkan peraturan yang tidak perlu untuk mengurangkan beban syarikat dan perniagaan.



Kurangkan peraturan tidak perlu

Kementerian dan kerajaan negeri termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi teknikal berkaitan akan mengurangkan peraturan tidak perlu, yang mana ia secara tidak langsung akan meningkatkan kecekapan fungsi dan operasi syarikat dan perniagaan.

Antara sektor ekonomi yang terjejas ekoran pandemik Covid-19 adalah industri pembinaan.

Presiden Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM), Datuk Ar Ezumi Harzani Ismail berkata, ketika PKP dilaksanakan, kesan yang agak ketara adalah proses kelulusan permohonan kelulusan pembangunan dan aktiviti pembinaan di tapak bina, khususnya di peringkat akhir atau hampir siap.

Beliau memberitahu, terdapat bangunan-bangunan yang sudah boleh melalui proses pemeriksaan oleh pihak berkuasa, agensi teknikal sebelum Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) dapat dikeluarkan oleh Arkitek, tetapi disebabkan Covid-19 ianya tidak dapat dilaksanakan.

CCC merupakan sijil penilaian oleh profesional industri untuk memastikan bahawa bangunan tersebut mengikut pelan yang diluluskan oleh pihak berkuasa tempatan, dibina dengan selamat dan sesuai untuk digunakan.

Namun disebabkan oleh PKP, katanya, tidak ada proses untuk membuat pemeriksaan di tapak dan tiada proses mengeluarkan surat pelepasan untuk CCC pada tempoh tersebut.

Penyaluran isu bebanan peraturan tidak perlu melalui Portal konsultasi awam berpusat (UPC)

“Jadi, ada beberapa projek yang tertangguh kerana proses pengeluaran CCC. Penangguhan mengambil masa yang agak lama, banyak projek pada masa itu tersangkut dan ada juga projek-projek yang baru hendak membuat permohonan untuk kelulusan pun tersangkut, ” kata beliau dalam wawancara bersama mStar, baru-baru ini.

Menerusi inisiatif MyMudah, Ezumi berkata, selepas 28 hari surat pelepasan bagi bekalan utiliti tidak dikeluarkan, pelepasan tersebut akan dibuat secara automatik bagi membolehkan pengeluaran CCC kepada pemaju.

“Sekiranya 28 hari selepas pemeriksaan dibuat walaupun tanpa surat pelepasan, perkara tersebut dianggap telah diterima oleh agensi bekalan perkhidmatan utiliti dan pihak arkitek boleh mengeluarkan CCC.

“Ini merupakan satu inisiatif yang dapat membantu industri pembinaan kerana kira-kira 7,000 pembinaan sedang berjalan pada satu-satu masa di negara ini.

Ezumi memberi pandangan mengenai senario semasa dalam industri pembinaan. Foto AZMAN GHANI

“Ada sebilangan projek yang telah menunggu melebihi dari tempoh satu bulan, tapi masih tak dapat surat pelepasan, maka tidak dapat dikeluarkan CCC. Jadi, projek-projek ini yang mendapat manfaat daripada inisiatif MyMudah, ” katanya.

Menurut Ezumi, kesan tersebut sebenarnya memberi banyak manfaat kepada industri pembinaan di negara ini.

“Contohnya, sekiranya bangunan itu telah siap, bekalan air dan elektrik dah ada tapi tanpa CCC, pengguna yang membeli bangunan atau rumah tidak boleh masuk. Pemaju yang memajukan projek tersebut juga tidak dapat menyerahkan pemilikan kosong kepada pembeli.

“Dengan inisiatif ini, perkara itu tidak akan tertangguh lebih lama kerana CCC boleh dikeluarkan. Manfaatnya, pembeli dapat masuk rumah sekiranya ia adalah projek perumahan.

“Sekiranya ia adalah projek komersial seperti kedai, pejabat, pusat beli belah atau pasar raya, ia dapat memberikan banyak manfaat kepada orang awam, contohnya pemilik kedai boleh beroperasi dan mengambil pekerja.

“Bukan sahaja manfaat kepada pemilik bangunan atau projek, ia akan memberi peluang pekerjaan kepada orang ramai berdasarkan aktiviti-aktiviti komersial yang dijalankan, ” katanya sambil menambah proses-proses yang melibatkan industri pembinaan juga dapat dipercepat dengan penggunaan teknologi seperti mengadakan mesyuarat secara dalam talian.

Pada masa ini, beliau berkata, hanya tiga agensi yang dibenarkan mengeluarkan surat pelepasan secara automatik selepas 28 hari, iaitu pihak berkuasa air, pembekal elektrik dan penyedia perkhidmatan pembentungan.

Banyak manfaat diperolehi masyarakat seperti peluang pekerjaan susulan perniagaan yang dapat beroperasi semula. Gambar hiasan/Foto RONNIE CHIN

“Sebenarnya ada banyak lagi agensi lain contohnya yang melibatkan faktor keselamatan dan keselamatan seperti Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

“Kita masih mengkaji adakah surat pelepasan automatik ini boleh dibenarkan dengan hanya pemeriksaan yang dibuat oleh para profesional bagi kedua-dua jabatan tersebut. Buat masa ini, kita masih merasakan pihak JKPP dan Bomba masih perlu membuat pemeriksaan, ” kata Ezumi.

Mansuh permit eksport

Sementara itu, turut menerima manfaat dalam inisiatif MyMudah adalah industri makanan diproses dan florikultur.

MPC menerima beberapa maklum balas daripada perniagaan dan antaranya adalah berhubung syarat tidak diperlukan untuk permit eksport.

Mesyuarat EAC yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah membuat keputusan untuk memansuhkan prosedur yang tidak perlu bagi eksport 524 barang (524 Kod HS) yang pada masa ini tidak konsisten dengan Perintah Kastam (Larangan Mengenai Eksport) 2017.

Naib Presiden Persatuan Florikultur Cameron Highlands, Wong Seng Yee berkata, industri bunga-bungaan di negara ini terus berkembang dan tahun 2019 sahaja menyaksikan nilai pengeksportan berjumlah RM500 juta.

“Semasa PKP pada masa itu, kami berhadapan dengan kesukaran kerana bunga bukan dikategorikan sebagai barangan keperluan.

“Jadi, kami menyuarakan kebimbangan dan berharap untuk diberikan pengecualian kerana sumber pendapatan menerusi pengeksportan begitu penting, ” katanya sambil menambah industri bunga-bungaan kemudian mendapat sokongan daripada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti).

Wong Seng Yee mengakui pengeksport bunga-bungaan terbeban dengan permit eksport. Foto AZMAN GHANI

Beliau bagaimanapun menjelaskan bahawa industri ini masih mengalami kesulitan dengan permit eksport yang menyukarkan pengeksportan ke luar negara ketika pandemik.

“Permit eksport membebankan pengeksport. Terdapat peraturan di mana untuk mengeksport, pengeksport perlu memohon permit eksport, ” katanya sambil menambah negara-negara yang mengimport tidak memerlukan permit eksport tersebut.

Menurut Seng Yee, selain memberi penjelasan mengenai kepelbagaian eksport dalam industri, mereka turut mendapati permit eksport tidak diperlukan.

Malahan, beliau turut menjelaskan bahawa pengusaha terpaksa menanggung kos untuk mendapatkan eksport permit, yang seterusnya memberi kos tambah kepada pengeksportan.

“MyMudah membantu kami untuk berbincang dengan pihak berkepentingan bagi membolehkan semua pihak memahami mengenai situasi yang berlaku dan menarik balik Kod HS untuk eksport bagi memudahkan proses pengeksportan.

“Selepas Kod HS dimansuhkan, pengeksport tidak lagi memerlukan permit eksport. Ia melegakan pengeksport bukan sahaja dari segi kos, bahkan masa, ” tambah beliau.

Bunga-bungaan antara yang dieksport ke luar negara. Foto RONNIE CHIN

Seng Yee menyifatkan inisiatif MyMudah merupakan satu langkah yang amat baik untuk industri dan beliau percaya kerajaan berusaha untuk membantu rakyat Malaysia serta memastikan ekonomi negara terus berkembang.

“Dengan pemansuhan Kod HS dan tiada lagi permit eksport diperlukan, benar-benar membantu para pengeksport dalam sektor pertanian terutama industri bunga-bungaan.

“Pengeksport juga tidak memerlukan lagi lebih banyak masa dan tenaga kerja untuk memohon permit eksport. Ia sebenarnya memudahkan dan mempercepatkan proses pengeksportan sekali gus mengurangkan beban mereka, ” katanya.

Di bawah inisiatif MyMudah, pemilik syarikat dan perniagaan boleh mengemukakan beban peraturan dan birokrasi yang mereka hadapi melalui portal konsultasi awam dalam talian selain pelbagai sesi libat urus yang dilaksanakan EAC dan MPC.

Beban yang dibangkitkan itu akan dianalisis Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah), seterusnya dibawa ke mesyuarat EAC untuk dinilai sebelum keputusan dibuat.

Pemilik syarikat dan perniagaan yang melayari portal konsultasi awam, serta KLIK mengenai cara untuk memberikan maklum balas.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain