suria

Covid-19: Tiada kluster sekolah di Sabah - Dr Noor Hisham

Petugas kesihatan menjalankan saringan kesihatan. Gambar hiasan/Foto Bernama

TIADA kluster membabitkan sebuah sekolah susulan seorang pelajar positif Covid-19 di Sabah, kata Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Ketua Pengarah Kesihatan berkata, ujian saringan Covid-19 ke atas semua pelajar dan guru di sebuah sekolah yang seorang pelajarnya diuji positif jangkitan itu baru-baru ini, menunjukkan keputusan negatif.

Beliau berkata, setakat ini dua kes positif membabitkan pelajar sekolah dilaporkan di negeri itu.

Kes pertama melibatkan seorang pelajar yang tidak menghadiri sesi persekolahan namun diuji positif ketika dirawat kerana mengalami demam, sementara kes kedua dikesan selepas pelajar terbabit dirujuk ke hospital susulan komplikasi lecur, katanya.

“Kami lakukan pensampelan di sekolah namun tiada guru atau murid yang dijangkiti.

“Justeru, tiada kluster daripada sekolah itu, manakala kedua-dua pelajar terbabit telah dimasukkan ke hospital, ” katanya pada sidang media harian Covid-19, petang Khamis.

Pada Rabu, Pengarah Kesihatan Sabah, Datuk Dr Christina Rundi dilaporkan berkata, seorang pelajar sekolah adalah antara empat individu yang disahkan dijangkiti Covid-19 di negeri itu pada 27 Julai lepas.

Beliau berkata, murid itu, kes 389, kini dirawat di Hospital Wanita dan Kanak-kanak Likas.

Sementara itu, mengenai penutupan tabika dan taska di Kubang Pasu susulan penularan Covid-19 melibatkan Kluster Sivagangga, Dr Noor Hisham berkata, Kementerian Kesihatan telah melakukan intervensi awam.

"Sehingga 30 Julai, sebanyak 143 orang disaring dengan enam kes positif, 67 negatif dan 70 masih menunggu keputusan dan diletakkan di bawah Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah Kediaman," katanya.

Pada Rabu, dilaporkan sebanyak 73 tabika dan tiga taska di bawah Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di Kubang Pasu diarah tutup bagi mengekang penularan wabak itu. - Bernama

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

kluster, pelajar, murid, sekolah, Sabah, Covid-19,

Artikel Lain