suria

PM gesa rakyat terus percaya sistem perundangan, hormati keputusan mahkamah ke atas Najib

Kata Muhyiddin (kiri), kerajaan menghormati keputusan mahkamah ke atas Najib (kanan).

BERI ruang kepada proses undang-undang agar keadilan dapat ditegakkan.

Demikian kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung keputusan mahkamah yang mensabitkan Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap semua tujuh pertuduhan melibatkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

ARTIKEL BERKAITAN: Akhirnya terjawab... Najib dihukum penjara 12 tahun, denda RM210 juta

Ujarnya, kerajaan menghormati keputusan mahkamah dan menggesa semua pihak agar terus meletakkan kepercayaan kepada sistem perundangan serta kehakiman negara sebagai institusi yang bebas dan berkecuali.

“Saya memahami perasaan dan sentimen rakan-rakan terhadap keputusan yang telah dibuat oleh mahkamah.

“Namun begitu, saya ingin menegaskan bahawa Kerajaan Perikatan Nasional akan sentiasa menegakkan prinsip kedaulatan undang-undang, ” katanya di dalam satu kenyataan pada Selasa malam.

Muhyiddin berkata kerajaan juga menghormati hak Najib untuk merayu atas hukuman yang dijatuhkan oleh mahkamah.

“Sama-samalah kita beri ruang kepada proses undang-undang untuk memastikan keadilan dapat ditegakkan, ” katanya.

Najib, 67, pada Selasa didapati bersalah terhadap tujuh pertuduhan melibatkan pecah amanah jenayah (CBT), pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kedudukan melibatkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali membuat keputusan itu setelah mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes terhadap kesemua pertuduhan terhadap bekas perdana menteri itu.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan dijatuhi hukuman penjara 10 tahun bagi setiap tiga pertuduhan kes CBT dan setiap kes pengubahan wang haram manakala 12 tahun penjara serta denda RM210 juta atau penjara lima tahun dalam kes menyalahgunakan kedudukan.

Bagaimanapun Najib hanya perlu menjalani hukuman penjara selama 12 tahun setelah Mohd Nazlan memerintahkan hukuman penjara itu berjalan serentak.- BERNAMA

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain