suria

Akhirnya terjawab... Najib dihukum penjara 12 tahun, denda RM210 juta

Najib (tengah) hadir ke Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur, melibatkan kes dana RM42 juta SRC International Sdn Bhd. Foto Bernama

AKHIRNYA terjawab apabila bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda sebanyak RM210 juta oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di atas kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali membuat keputusan itu pada Selasa selepas berpuas hati pihak pembelaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Pada Selasa, Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan, didapati bersalah atas tujuh pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram melibatkan dana SRC.

ARTIKEL BERKAITAN: Debaran kes Najib, pasukan pembelaan mohon rayuan ringan hukuman ditangguh

Menurut laporan Bernama, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara berjumlah 72 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib selepas mendapati beliau bersalah atas tujuh pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT), pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kedudukan melibatkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Bagaimanapun, Najib hanya perlu menjalani hukuman penjara selama 12 tahun setelah Mohd Nazlan memerintahkan hukuman penjara itu dilaksanakan serentak.

Najib dijatuhi hukuman penjara 10 tahun bagi setiap tiga pertuduhan kes CBT dan setiap kes pengubahan wang haram manakala 12 tahun penjara serta denda RM210 juta, atau penjara lima tahun dalam kes menyalahguna kedudukan.

Terdahulu, sejurus selepas Najib didapati bersalah terhadap kesemua tujuh pertuduhan, pasukan pembelaannya memohon agar rayuan bagi hukuman yang ringan didengar pada Isnin ini.

Mahkamah bagaimanapun menolak permohonan tersebut, yang mana Mohd Nazlan memutuskan bahawa pihak pembelaan perlu mempunyai alasan yang kukuh untuk berbuat demikian.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain