suria

13 kes baharu Covid-19 pada Rabu, lapan daripadanya kes import

Sebanyak 13 kes baharu Covid-19 dicatatkan pada Rabu. Foto: Bernama

SEBANYAK 13 kes baharu positif Covid-19 direkodkan pada Rabu, menjadikan keseluruhan 8,956 kes setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 220 kes, dan mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

Menurut Dr Noor Hisham, daripada 13 kes baharu yang dilaporkan, lapan kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara melibatkan empat warganegara Malaysia dan empat bukan warganegara yang dibenarkan masuk ke Malaysia.

ARTIKEL BERKAITAN: Kes kembali ke 2 angka... 39 positif Covid-19

Tambah Dr Noor Hisham, daripada lima kes penularan di dalam negara, tiga kes adalah dalam kalangan warganegara Malaysia dan dua kes adalah bukan warganegara Malaysia.

"Adalah dimaklumkan bahawa tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan pada hari ini.

"Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 124 kes," katanya dalam satu kenyataan, petang Rabu.

Dr Noor Hisham berkata, lima kes telah pulih Covid-19 pada Rabu dan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya adalah 8,612 kes.

"Sehingga kini, hanya dua kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan satu kes memerlukan bantuan pernafasan," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Covid-19, KKM, positif

Artikel Lain