suria

Roti canai 'ular' hanya menyerupai bentuk sahaja... hukumnya tak haram dimakan - Mufti Kelantan

Roti canai berbentuk ular di Kota Bharu, Kelantan yang tular di media sosial baru-baru ini.

MUFTI Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad menjelaskan hukum membeli dan memakan makanan berbentuk haiwan berbisa seperti roti canai ular yang tular baru-baru ini adalah tidak haram.

Menurutnya, selagi bahan yang digunakan untuk membuat makanan itu adalah daripada sumber yang halal, maka tidak timbul soal ia haram dimakan.

Tambahnya lagi, tujuan pembelian itu juga adalah semata-mata untuk dimakan dan bukan untuk diagungkan.

ARTIKEL BERKAITAN: Misi isteri gagal! Kek hari jadi anak tiba-tiba bertukar bentuk... suami ‘nakal’ suruh anak ke dapur ambil lesung batu

"Kita semua sedia maklum, bahawa kandungan roti canai itu hanyalah tepung gandum sahaja dan ia datang daripada sumber yang halal. Jadi tidak timbul sekalipun isu haram jika memakan roti canai berbentuk ular.

"Bagaimanapun, hukum memakan ular tetap haram kerana ia mengandungi bisa yang akan memudaratkan manusia namun roti canai ular ini cuma menyerupai bentuk sahaja, bukan kandungannya yang memudaratkan manusia," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan segelintir masyarakat yang mempersoalkan hukum memakan roti canai berbentuk ular yang tular di media sosial serta aplikasi WhatsApp sejak beberapa hari lalu.

Mohamad Shukri turut mengingatkan umat Islam agar tiada unsur mempersendakan agama ketika memakan roti canai ular berkenaan.

"Seperti contoh, jika kita minum air kosong namun kita menyamakan air itu dengan arak adalah tidak dibenarkan, sama juga jika memakan roti canai ular ini namun dibanggakan seperti memakan ular yang betul adalah tidak dibenarkan kerana seolah-olah mempermainkan hukum Islam.

"Malah, masyarakat juga diingatkan agar tidak menggembar-gemburkan dan cepat menghukum sesuatu perkara yang tidak pasti. Seboleh-bolehnya pandanglah sesuatu perkara daripada sudut yang lebih positif," katanya.

Semalam, akhbar melaporkan roti canai ular yang dihasilkan oleh seorang pengusaha roti canai, Che Harun Ali, 46, dari Kampung Kubur Kuda di Kota Bharu, mendapat sambutan ramai selepas tular di media sosial. - BERNAMA

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

roti canai, ular, tular, Kota Bharu

Artikel Lain