suria

Lagi kluster Covid-19 tamat, kali ini syarikat pembersihan KL... 4 masih aktif - Dr Noor Hisham

Petugas kesihatan menjalankan ujian saringan Covid-19. Gamba hiasan/Foto Bernama

SEHARI selepas kluster Covid-19 terbesar negara iaitu kluster perhimpunan jemaah tabligh di Masjid Seri Petaling, tamat pada Rabu, satu lagi kluster iaitu kluster Syarikat Pembersihan Kuala Lumpur tamat setelah berjaya merekodkan sifar kes pada Khamis.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster tersebut melibatkan empat kes positif Covid-19 iaitu tiga pekerja syarikat dan satu kontak rapat mereka, yang mana kesemuanya adalah warga Indonesia.

ARTIKEL BERKAITAN: Kluster Masjid Seri Petaling diisytihar tamat selepas rekod sifar kes

"Kluster ini telah dikesan hasil saringan 10 pekerja bukan warganegara.

"Saringan tersebut merupakan inisiatif majikan syarikat tersebut untuk menyaring pekerja-pekerja bukan warganegara mereka," katanya dalam satu kenyataan, petang Khamis.

Dr Noor Hisham berkata, sehingga 9 Julai 2020, seramai 33 orang telah disaring, terdiri daripada 16 warganegara Malaysia dan 17 bukan warganegara.

Beliau menambah, kluster Syarikat Pembersihan Kuala Lumpur merupakan salah satu daripada 15 kluster tempat kerja yang dikenal pasti di negara ini.

"Kluster ini merupakan kluster pertama dikesan dalam kumpulan kluster ini, iaitu pada 24 Mac 2020 apabila kes pertama dalam kluster itu dikesan positif Covid-19 (iaitu kes ke-1909).

"Terdapat empat kluster yang masih aktif," katanya sambil menambah empat kluster tersebut adalah kluster Tapak Pembinaan Kuala Lumpur 2, kluster Pedas, kluster Syarikat Pembersihan dan kluster Tapak Pembinaan Kuching.

Pada Rabu, kluster perhimpunan jemaah tabligh di Masjid Seri Petaling, tamat selepas berjaya merekodkan sifar kes.

Dr Noor Hisham berkata, kluster itu dikesan susulan perhimpunan keagamaan di masjid tersebut yang berlangsung dari 27 Februari sehingga 3 Mac lalu serta dihadiri seramai 16,000 orang melibatkan 14,500 warganegara Malaysia dan 1,500 bukan warganegara dari pelbagai negara.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain