suria

Ali Rustam anak Melaka pertama dilantik Yang di-Pertua Negeri

Ali Rustam mengangkat sumpah jawatan sebagai Yang Dipertua Negeri Melaka ketujuh di Balai Istiadat, Seri Negeri, Ayer Keroh pada Jumaat. - fotoBERNAMA

TUN Mohd Ali Rustam yang mengangkat sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertua Negeri Melaka Ketujuh pada Jumaat merupakan anak jati Melaka pertama memegang jawatan itu.

Seramai enam Yang di-Pertua Negeri Melaka sebelum ini, dua daripadanya berasal dari Perak dan masing-masing seorang dari Negeri Sembilan, Selangor, Kedah dan Pahang.

Mohd Ali yang juga bekas Ketua Menteri Melaka amat dikenali sebagai individu membangunkan negeri Melaka sebagai antara destinasi pelancongan terkenal dunia, dilahirkan di Kampung Bukit Katil di sini pada 24 Ogos 1949.

Mohd Ali, 70, mengakhiri zaman bujangnya pada 28 April 1984 menyunting Toh Puan Asmah Abdul Rahman, 64, yang berasal dari Muar, Johor sebagai suri hatinya dan pasangan itu dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Mohd Ridhwan, 33; Wan Nadzirah, 32; dan Muhammad Hamka, 30.

Beliau merupakan pemegang Ijazah Kepujian Sarjana Muda Kemasyarakatan (Ekonomi Pembangunan) daripada Universiti Sains Malaysia yang digenggamnya pada tahun 1984, dan Ijazah Sarjana Sastera daripada Universiti Malaya pada 2013.

Mohd Ali pernah bertugas sebagai kerani di Lembaga Letrik Negara dari 1969 hingga 1979, sebelum kerjayanya meningkat menjadi pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di Perlis bermula 1980, Wilayah Persekutuan (1981) dan Melaka (1982).

Beliau yang dikenali dengan sifat mesra rakyat, kali pertama menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Melaka pada 1986 apabila memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek dan seterusnya kerusi DUN Sungai Udang pada Pilihan Raya Umum 1990.

Ketika menjadi Adun, Mohd Ali pernah memegang jawatan sebagai Pengerusi Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Alam Sekitar; dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Perindustrian, Sains, dan Teknologi.

Pada Pilihan Raya Umum 1995, beliau memenangi kerusi Parlimen Batu Berendam dan dilantik sebagai Timbalan Menteri Pengangkutan sehingga Januari 1999; kemudiannya menjadi Timbalan Menteri Kesihatan sehingga November 1999.

Pilihan Raya Umum 1999 melakar sejarah baharu buat Mohd Ali yang mesra dengan panggilan ‘Tok Ali’ oleh rakyat negeri ini apabila beliau dilantik sebagai Ketua Menteri Melaka Kesembilan menggantikan Datuk Seri Abu Zahar Isnin setelah memenangi kerusi DUN Paya Rumput.

Selain menjadikan Melaka sebagai destinasi pelancongan dunia ketika menjadi Ketua Menteri, Mohd Ali berjaya menjadikan Melaka sebagai negeri maju menjelang tahun 2010.

Setelah tiga penggal menjadi Ketua Menteri sehingga 5 Mei 2013, beliau dilantik sebagai Anggota Dewan Negara (Senator) mewakili negeri ini pada 2 Oktober tahun sama.

Dalam politik, beliau pernah menjadi Ketua Pemuda Umno Cawangan Bukit Katil pada 1972 dan memegang pelbagai jawatan sebelum menjadi Ketua Umno Bahagian Batu Berendam pada 1986. Bahagian itu kini ditukar nama kepada Umno Bahagian Bukit Katil.

Mohd Ali kemudian menjadi Setiausaha Badan Perhubungan Umno Negeri Melaka pada 1988 sebelum dilantik pengerusi badan perhubungan itu pada 1996. Pada pemilihan Umno 2004, Mohd Ali dipilih sebagai Naib Presiden parti.

Beliau juga pernah memegang jawatan tertinggi dalam badan bukan kerajaan termasuk Presiden Gerakan Belia 4B Malaysia, Presiden World Assembly of Youth (WAY), Presiden World Youth Foundation (WYF) dan Presiden Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI). - BERNAMA

Artikel Lain