suria

Kes baharu positif Covid-19 melonjak kepada 277, tiada kematian dicatatkan

Petugas kesihatan menjalankan ujian saringan Covid-19. Foto Bernama

PERKEMBANGAN terkini mengenai Covid-19 di Malaysia setakat Khamis menyaksikan pertambahan 277 kes baharu, menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan virus itu sebanyak 8,247 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes penularan tempatan dalam kalangan warganegara Malaysia hanya empat kes.

Beliau memberitahu, kes penularan dalam kalangan bukan warganegara adalah 271 kes, manakala terdapat dua kes import warganegara Malaysia yang mendapat jangkitan di luar negara.

Tambah Dr Noor Hisham, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 1,573 kes.

"Tiada kes kematian terbaharu akibat Covid-19 di negara ini.

"Justeru, ia menjadikan jumlah kumulatif kematian kekal sebanyak 115 kes," katanya pada sidang media, petang Khamis.

Mengulas lanjut mengenai kes Covid-19 setakat Khamis, Dr Noor Hisham berkata, terdapat enam kes yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Daripada jumlah itu, katanya, dua kes memerlukan bantuan pernafasan.

Menurut beliau lagi, sebanyak 28 kes yang telah pulih sepenuhnya dan dibenarkan discaj pada Khamis.

"Ia menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dan telah discaj adalah sebanyak 6,559 kes," kata Dr Noor Hisham.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

kes, Covid-19, kematian,

Artikel Lain