suria

MP Sri Gading letak jawatan Timbalan Menteri Kerja Raya

Shahruddin mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Timbalan Menteri Kerja Raya.

AHLI Parlimen Sri Gading, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh pada Khamis mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Timbalan Menteri Kerja Raya.

Bagaimanapun, timbul persoalan sama ada beliau kekal bersama kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Menerusi satu surat peletakan jawatan yang dipautkan pada halaman Facebooknya, Shahruddin berkata, beliau telah melakukan ijtihad politik yang kurang tepat iaitu dengan menyertai kerajaan PN di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Saya seharusnya meletakan keutamaan dengan membuat pertimbangan bahawa pengundi-pengundi di Parlimen Sri Gading telah memilih parti Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum ke-14.

"Sebagai langkah awal bagi saya membetulkan kesilapan ini, maka saya dengan ini meletak jawatan kerana saya dilantik ke jawatan ini oleh Perdana Menteri dari kerajaan Perikatan Nasional PN," kata Shahruddin.

Menerusi satu surat berasingan dengan tandatangan Shahruddin dan ditujukan kepada Muhyiddin, yang kini tular di media sosial, bagaimanapun menyebut bahawa beliau hanya meletakkan jawatan sebagai Timbalan Menteri Kerja Raya, tetapi kekal sebagai ahli Parlimen di bawah PN. - The Star

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain