suria

Ismail Sabri pasang 'umpan', ajak semua yang lolos rentas negeri balik ke ibu kota - “Jangan sebab takut dikompaun, akhirnya hilang pekerjaan”

Polis mengadakan sekatan jalan raya rentas negeri di plaza tol. Foto Bernama

MENTERI Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sekali lagi memberi amaran bahawa individu yang lolos merentas negeri untuk pulang beraya di kampung semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), tetap akan dikenakan tindakan.

Beliau berkata, mereka yang didapati merentas negeri tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan kompaun sebaik pulang ke bandar selepas bercuti.

"Mereka yang terlepas pulang ke kampung bukan ada jaminan tidak terlepas daripada tindakan polis apabila balik ke tempat kerja.

"Baliklah, jangan tak balik. Mereka berani buat, mereka kena berani tanggunglah. Kalau mereka lolos dulu, mereka cekaplah.

"Tapi kalau mereka balik dan tak boleh lolos akan diambil tindakan oleh polis, bayar jelah kompaun," katanya pada sidang media.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai mereka termasuk penjawat awam yang 'berjaya' merentas negeri dan tindakan terhadap mereka apabila pulang ke bandar selepas cuti Aidilfitri.

Ismail Sabri berkata, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Mohd Khairul Adib Abd Rahman telah mengeluarkan kenyataan bahawa penjawat awam yang gagal bertugas selepas cuti Aidilfitri akan dikenakan tindakan tatatertib.

Sehubungan itu, beliau berkata, semua pihak digalakkan pulang ke bandar bagi meneruskan tugas masing-masing.

"Jangan sampai tak pulang. Kita tak menahan mereka, tapi kita galakkan mereka pulang kerana nak bekerja.

"Jangan sebab takut dikompaun, tak balik (bertugas)... akhirnya hilang pekerjaan. Lebih baik kena kompaun dan terus bekerja," katanya.

Beliau bagaimanapun memberitahu, sebarang tindakan terhadap mereka yang ingkar terserah kepada pihak polis.

"Sekatan jalan raya akan terus dikekalkan di setiap plaza tol untuk menyekat daripada rentas negeri.

"Jadi, kita serahkan kepada pihak polis untuk tindakan seterusnya," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain