suria

Kuarantin di hotel dikenakan caj mulai 1 Jun, wajib sign aku janji sebelum pulang Malaysia

Semua individu yang mahu pulang ke Malaysia perlu menandatangani surat perjanjian untuk membayar kos kuarantin wajib di hotel. Gambar hiasan/Foto Bernama

SEMUA individu yang memasuki Malaysia, termasuk rakyat Malaysia diwajibkan untuk menandatangi surat perjanjian membayar kos hotel bagi menjalani kuarantin wajib.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob,berkata keputusan tersebut dibuat dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Caj kuarantin hotel akan dikenakan ke atas semua individu yang memasuki pintu masuk negara bermula 1 Jun 2020.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiada perbezaan ikut darjat! Kerajaan tanggung RM150 sehari bagi setiap individu selama 14 hari dikuarantin di hotel

"Bagi warganegara Malaysia pulang diminta untuk membayar sebanyak 50 peratus daripada kadar penuh bayaran hotel, iaitu separuh daripada kos RM150 yang dikenakan. Separuh ditanggung oleh individu yang dikuarantin dan sebahagian lagi ditanggung oleh kerajaan.

"Bagaimanapun, bagi bukan warganegara Malaysia termasuk Permastautin Tetap dan lain-lain, mereka dikenakan caj hotel sepenuhnya, bermakna mereka akan tanggung semua caj yang dikenakan kepada mereka," katanya pada sidang media, petang Rabu.

Ismail Sabri berkata, mereka yang mahu pulang ke Malaysia juga perlu menandatangani surat aku janji berkenaan terlebih dahulu sebelum pulang ke tanah air.

"Mereka perlu menandatangani surat setuju pembayaran 50 peratus bagi warganegara Malaysia dan 100 peratus bagi bukan warganegara Malaysia, melalui pejabat Kedutaan Malaysia yang terdekat.

"Pejabat Kedutaan Malaysia juga akan mengeluarkan surat kelulusan untuk pulang ke Malaysia dan Jabatan Imigresen akan mengeluarkan arahan kepada semua syarikat penerbangan, untuk memastikan surat kelulusan itu dijadikan syarat kepada semua penumpang sebelum berlepas ke tanah air," tambahnya.

Beliau berkata, ia susulan ramai yang pulang ke tanah air terutama Permastautin Tetap enggan membayar kos hotel selepas selesai menjalani kuarantin wajib.

"Sebab itu kita nak mereka sign dulu surat aku janji untuk bayar sebelum pulang ke tanah air," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain