suria

Beri kelonggaran, kerajaan dah bersedia ke jika berlaku gelombang baharu Covid-19? Ini jawab Ismail Sabri

Malaysia ketika ini menyekat kemasukan warga asing bagi mengelakk kes import Covid-19. Foto Bernama

KERAJAAN bersedia terhadap sebarang kemungkinan berkaitan Covid-19 selepas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dikuat kuasakan pada 4 Mei depan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, apa yang dilakukan di Malaysia berbeza jika dibandingkan dengan negara lain yang berdepan peningkatan kes Covid-19 selepas 'lockdown' tidak dilaksanakan.

Mengambil contoh Hokkaido di Jepun, beliau berkata pintu kemasukan negara matahari terbit itu turut dibuka dan warga asing dibenarkan masuk tanpa sekatan selepas 'lockdown', satu langkah yang tidak dilakukan di Malaysia ketika PKPB.

"Waktu itu musim bunga sakura. Ramai yang datang dari luar, dan akhirnya berlaku kes import di Jepun. Kita masih menutup pintu masuk negara kepada warga asing.

ARTIKEL BERKAITAN: Rakyat Malaysia... PKP tak ditarik balik, yang ingkar masih kena tindakan - Ismail Sabri

"Sampai hari ini kita tak benarkan. Airport kita tidak menerima warga asing dan warga kita pun yang balik dari luar negara akan dikuarantin wajib.

"Ini bagi menyekat kes-kes import yang berlaku di Hokkaido, jadi ada perbezaan antara kita dan Hokkaido," katanya pada sidang media.

Beliau berkata demikian ketika ditanya adakah kerajaan bersedia dengan peningkatan kes Covid-19 dan pengajaran yang boleh diambil menerusi kelonggaran ketika PKPB berdasarkan beberapa tempat termasuklah Hokaido yang kini dilanda gelombang baharu selepas menamatkan perintah berkurung.

Beliau turut ditanya tentang kegusaran yang timbul bahawa pengorbanan frontliner dan rakyat Malaysia yang duduk di rumah selama ini akan menjadi sia-sia jika berlaku gelombang baharu Covid-19.

Ismail Sabri berkata, PKPB yang bermula 4 Mei diberikan sedikit kelonggaran kepada sektor tertentu dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Malah, Ismail Sabri menjelaskan bahawa kerajaan kini menumpukan kawasan bersasar bagi kes jangkitan Covid-19.

"Katakan tiba-tiba satu kawasan itu ada kes positif Covid-19. Kita terus lock kawasan tersebut," katanya yang memberi contoh PKP Diperketatkan (PKPD) yang dikuat kuasakan di Sungai Lui di Hulu Langat, Selangor berikutan jumlah kes Covid-19 yang tinggi.

"Kita mampu bersedia kerana kita menumpukan kawasan yang bersasar, di kawasan-kawasan melibatkan kes Covid-19, dan salah satunya juga menyekat kemasukan rakyat asing yang mungkin akan membawa kluster baharu iaitu kluster import," katanya.

Dilaporkan, pulau di utara Jepun itu kini dilanda gelombang kedua yang mencatatkan 135 jangkitan Covid-19 dalam tempoh seminggu, selepas menamatkan perintah berkurung tiga minggu apabila kes jangkitan berkurang kepada satu angka.

Hokkaido, yang menamatkan perintah berkurung pada 19 Mac lalu bagi membolehkan perniagaan dan sekolah beroperasi, kini mengisytiharkan darurat kecemasan.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Hokkaido, Jepun, gelombang baharu, PKP, PKPB,

Artikel Lain