suria

Wow! Peluang merasai pengalaman hebat pendidikan gaya Jepun, graduan MJIIT-UTM diakui miliki masa depan cerah

Prof Ali (hadapan, tengah) bersama graduan MJIIT-UTM.

UNIVERSITI Teknologi Malaysia (UTM) komited untuk terus memainkan peranan dalam pembangunan negara dengan memberi tumpuan kepada bidang kejuruteraan dan teknologi.

Sebagai salah satu universiti berasaskan penyelidikan terkemuka di dunia, UTM berada di landasan yang tepat untuk mencapai objektif tersebut melalui penubuhan Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun (MJIIT).

MJIIT-UTM ditubuhkan menerusi persetujuan mesyuarat Kabinet pada 26 Mei 2010, di bawah pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) (Pindaan) 2009 dengan autonomi penuh daripada segi tadbir urus dan kewangan.

“Kita dibenarkan untuk mengambil pelajar tanpa kuota berdasarkan penawaran dan permintaan, tetapi bilangan pelajar asing tidak melebihi 50 peratus,” kata Dekan MJIIT-UTM, Prof Dr Ali Selamat.

Prof Dr Ali Selamat. Foto digital.utm.my

Beliau berkata, pada masa ini seramai 426 pelajar pasca siswazah yang aktif dan berharap dapat meningkatkan bilangan pendaftaran sehingga 560 pelajar menjelang 2025.

Pengajian siswazah terdiri daripada empat bidang utama iaitu kejuruteraan mekanikal, kejuruteraan elektronik, kejuruteraan kimia dan persekitaran serta pengurusan teknologi.

“Ia merupakan tiga cabang kejuruteraan utama dan Jepun dikenali di dunia sebagai negara terulung dalam tiga bidang kejuruteraan ini,” kata Prof Ali.

Beliau menambah, pengurusan teknologi telah dirancang secara khusus bagi melahirkan dan membangunkan pemimpin serta teknokrat dalam dunia perniagaan.

MJIIT-UTM menyediakan prospek kerjaya yang bagus setelah tamat pengajian.

Prof Ali berkata, prospek kerjaya adalah bagus buat graduan MJIIT, berdasarkan majoriti mereka diambil bekerja oleh syarikat besar dan syarikat multinasional (MNC) setelah tamat pengajian.

Beliau berkata, permintaan untuk graduan dalam bidang kejuruteraan mekanikal, elektronik dan kimia dan persekitaran begitu memberangsangkan, bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di negara-negara lain.

“Graduan kita mempunyai kelebihan tambahan kerana mereka didedahkan dengan pendidikan gaya Jepun," kata Prof Ali.

Melahirkan tenaga mahir dalam bidang teknologi.

Beliau berkata, ketepatan dan menepati masa adalah amat penting dalam etika kerja Jepun, dan pelajar serta graduan MJIIT diharap dapat menyesuaikan diri serta menerapkan amalan-amalan yang baik, selain dapat berusaha keras.

Menurut Prof Ali, tenaga pengajar UTM juga mempunyai banyak peluang untuk bekerjasama dengan pihak Jepun terutama syarikat-syarikat dari negara matahari terbit itu.

Tambah beliau, mereka juga mendapat manfaat menerusi kerjasama erat dengan Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA) serta 29 Konsortium Universiti Jepun (JUC) berhubung penerimaan geran penyelidikan, pertukaran staf dan kerjasama penyelidikan.

Program pertukaran pelajar di Jepun.

Sementara itu, Pengarah Urusan Leave a Nest Malaysia Sdn Bhd, Abdul Hakim Sahidi mengikuti pengajian diploma dalam bidang kejuruteraan elektronik selama tiga tahun di Kampus Jalan Semarak UTM di Kuala Lumpur.

Beliau kemudian melanjutkan pengajian dalam bidang kejuruteraan sistem elektronik di MJIIT selama tiga tahun.

“Saya sentiasa kagum dengan teknologi diciptakan menerusi pengajian elektronik, ia membolehkan saya menjadi inovator teknologi," katanya.

Abdul Hakim yang berasal dari Kuala Terengganu memberitahu, beliau  memilih MJIIT kerana keunikan yang ditawarkan institut itu daripada segi pengajian kejuruteraan gaya Jepun.

“Saya berkunjung ke Jepun sebanyak tiga kali sepanjang tempoh pengajian di MJIIT di bawah program pertukaran pelajar dan ini merupakan pendedahan terbaik buat saya,” katanya.

Program yang diadakan di Tokyo, Jepun.

Beliau menyertai syarikat itu pada September 2016, setelah menamatkan pengajian di MJIIT dan dinaikkan pangkat sebagai pengarah urusan pada Mei 2019.

Bagi Aimisyahmi Harith, dia bakal melaporkan tugas sebagai jurutera jualan di sebuah syarikat industri solar di Tokyo, Jepun pada Februari 2021, setelah menamatkan pengajiannya di MJIIT pada Oktober tahun ini.

“Saya telah menghadiri temuduga pada Mac lalu dan penemuduga kagum dengan saya sekaligus menawarkan jawatan itu,” ujar anak kelahiran Negeri Sembilan itu.

Aimisyahmi merupakan pelajar tahun akhir di MJIIT, dalam pengajian Sarjana Kejuruteraan Proses Kimia.

Dia merancang untuk berkhidmat dengan syarikat Afterfit yang berpangkalan di Tokyo selama lima hingga 10 tahun dan kemungkinan akan dilantik sebagai wakil syarikat di Malaysia yang mempunyai rancangan untuk beroperasi di negara ini.

“Salah satu mata pelajaran yang kami pelajari di MJIIT adalah Ningen Ryoku, yang mengajar kami mengenai kepemimpinan, ketegasan, semangat menyahut cabaran, kerjasama dan kemampuan untuk menyesuaikan diri yang mana amat berguna apabila memasuki dunia pekerjaan,” kata Aimisyahmi.

Pelajar yang mengikuti program pengajian di Jepun.

Sementara itu, Prof Ali menegaskan pada 2020, MJIIT akan mengagihkan Bantuan Kewangan (FA) berjumlah RM5 juta untuk membantu pelajar cemerlang dalam golongan berpendapatan rendah B40 dan kumpulan pertengahan M40.

Prof Ali menjelaskan bahawa FA tersebut mencecah RM7,800 setahun.

Selagi graduan memenuhi syarat untuk mendapat biasiswa di peringkat matrikulasi, asasi, Sijil Tinggi Pelajaran  Malaysia (STPM), diploma atau A Level, mereka boleh memohon FA.

FA tersebut hanya memberi kelayakan kepada rakyat Malaysia yang mahu mengikuti program sarjana sepenuh masa di MJIIT, meliputi Sarjana Muda Kejuruteraan Ketepatan Mekanikal, Kejuruteraan Sistem Elektrikal dan Kejuruteraan Proses Kimia.

Mereka yang berminat untuk menyertai atau mengetahui lebih lanjut mengenai MJIIT, boleh melayari laman web rasmi MJIIT di MJITT-UTM atau terus menghubungi 019-793 3799 atau e-mel ke [email protected].

Artikel Lain