suria

Sah virus Covid-19 ada di permukaan badan mayat! Urus jenazah cara tayamum selaras pandangan KKM, Jawatankuasa Muzakarah

Proses bedah siasat yang dijalankan terhadap satu mayat pesakit Covid-19 mendapati terdapat virus wabak itu yang dikesan pada permukaan badan mayat. Gambar sekadar hiasan.

PROSES bedah siasat yang dijalankan terhadap satu mayat pesakit Covid-19 mendapati terdapat virus wabak itu yang dikesan pada permukaan badan mayat.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, bedah siasat oleh Institut Perubatan Forensik Negara memperoleh penemuan itu melalui analisa Real-time Polymerase Chain Reaction (rt-PCR) yang dijalankan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR).

ARTIKEL BERKAITAN: Malaysia catat 118 kes baharu, KKM umum tiga lagi korban Covid-19

"Penemuan baru ini adalah selaras dengan pandangan yang dikemukakan oleh KKM sebelum ini dan dipersetujui oleh Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang telah bersidang pada 15 Mac 2020 dan Majlis Perundingan Malaysia, Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh, dan Tao (MCCBCHST) pada 16 Mac 2020," katanya pada sidang media pada Khamis.

Tambah Dr Noor Hisham, tatacara tersebut juga merangkumi pengurusan jenazah Islam yang mana hanya dibenarkan untuk ditayamum di atas permukaan beg jenazah.

"Manakala bagi mayat bukan Islam apa-apa upacara keagamaan dan tradisi hanya dibuat di atas permukaan beg mayat," katanya dalam sidang media pada Khamis.

Bedah siasat dijalankan di bawah Seksyen 16 Akta Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 Akta 342, kata Dr Noor Hisham.

Untuk rekod, Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia pada 15 Mac 2020 bersetuju supaya pengurusan jenazah mangsa Covid-19 menggunapakai keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa MKI Kali ke-107, bertarikh 10 hingga 11 Februari 2015 mengenai Hukum Pengurusan Jenazah Orang Islam yang disyaki atau disahkan dijangkiti Virus Ebola di Malaysia.

Walau bagaimanapun, Muzakarah bersetuju untuk menukarkan prosedur asal mandi jenazah digantikan kepada perlaksanaan tayammum terhadap  bagi mengurangkan risiko terhadap petugas daripada terjangkit.

Pandangan ini mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.




Artikel Lain