suria

Malaysia catat 118 kes baharu, KKM umum tiga lagi korban Covid-19

Malaysia mencatatkan tiga lagi korban akibat virus itu, menjadikan 70 kematian keseluruhan. Foto: Azhar Mahfof/The Star

PENULARAN Covid-19 di negara ini merekodkan 118 kes baharu, menjadikan keseluruhan 4,346 kes setakat Jumaat.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, Malaysia turut mencatatkan tiga lagi korban akibat virus itu, menjadikan 70 kematian keseluruhan.

ARTIKEL BERKAITAN: PKP masuk fasa ke-3, tambah 2 minggu lagi hingga 28 April

"Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, dukacita dimaklumkan bahawa terdapat pertambahan tiga lagi kes kematian berkaitan Covid-19.

"Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 70 kes," ujarnya menerusi sidang media Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jumaat petang.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Tambahnya, seramai 69 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 40 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Berikut perincian tiga kes kematian terbaharu yang diumumkan pada Jumaat:

-Kes kematian ke-68 (kes ke-694) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 62 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis. Beliau mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes positif Covid-19 daripada kluster Seri Petaling (kes ke-159). Beliau telah dirawat di Hospital Queen Elizabeth, Sabah pada 17 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 10 April 2020 jam 8.21 pagi.

-Kes kematian ke-69 (kes ke-4229) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 77 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis. Beliau telah dirawat di Hospital Kuala Lumpur pada 27 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 10 April 2020 jam 4.00 pagi.

-Kes kematian ke-70 (kes ke-4230) merupakan perempuan warganegara Malaysia berumur 88 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi, penyakit jantung dan dementia. Beliau mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes positif COVID-19 (kes ke-1684). Beliau telah dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya pada 20 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 10 April 2020 jam 2.38 pagi.

Artikel Lain