suria

“Sekarang ini bukan tentang saya...” - Dr Noor Hisham mahu fokus perangi Covid-19, anggap gelaran ‘wira negara’ bukan keutamaan

Dr Noor Hisham mahu fokus untuk menangani penularan wabak Covid-19.

GELARAN 'wira negara' yang diberikan beberapa pihak kepadanya bukan perkara penting buat Dr Noor Hisham Abdullah.

Sebaliknya, bagi ketua pengarah kesihatan itu, apa paling utama ketika ini adalah bagaimana untuk menangani penularan wabak Covid-19 di negara ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Bermula tengah malam ini, arahan PKPD berkuatkuasa di Hulu Langat libatkan hampir 4,000 penduduk

"Sekarang ini bukan tentang saya, tetapi apa kami boleh lakukan terhadap Covid-19.

"Jadi pada saya tak penting (gelaran wira negara), yang penting adalah perkhidmatan," katanya dalam sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, Ahad.

Sesuai dengan jawatan disandangnya, Dr Noor Hisham mendapat pujian pelbagai pihak kerana tenang mengendalikan sidang media bagi memberi maklumat terkini penularan wabak merbahaya itu.

Malah, beliau juga menjawab setiap soalan yang dikemukakan pihak media dengan jelas bagi memudahkan laporan berita disiarkan untuk manfaat semua.

Sehubungan itu, kata Dr Noor Hisham lagi, keutamaannya ketika ini adalah untuk memerangi wabak berkenaan daripada terus menular.

Ketika ini, negara bakal melalui fasa kedua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang akan berakhir pada 14 April ini.

Selain itu, dua kawasan di Simpang Renggam, Kuang di Johor telah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 27 Mac lalu, manakala mulai tengah malam 30 Mac pula selama dua minggu kawasan Batu 21 hingga Batu 24 Hulu Langat pula melalui proses sama.

Pelbagai usaha berterusan dan tindakan pantas yang dilakukan Kementerian Kesihatan Malaysia juga telah mendapat perhatian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) apabila dipilih untuk menjalankan penyelidikan bersama berkaitan wabak berkenaan.






Dr Noor Hisham, Covid-19, wira negara

Artikel Lain