suria

Pelan transformasi Pos Malaysia menuju ledakan ekonomi digital

Pos Malaysia kekal sebagai perkhidmatan pos yang paling berpatutan di negara ini.

SELEPAS 10 tahun mengekalkan kadar pos, baru-baru ini Pos Malaysia mengumumkan semakan kadar pos baharu untuk pengguna komersial dalam usaha menampung kos dan selari dengan pertumbuhan pesat ekonomi digital.

Semakan kadar pos baharu itu berkuatkuasa 1 Februari 2020, di mana syarikat perkhidmatan pos nasional itu melaksanakan skala harga baharu dalam usaha memperluaskan jangkauan perkhidmatannya.

Perubahan kadar harga itu bagaimanapun tidak akan memberi kesan kepada pengguna mel domestik sama ada individu atau keluarga yang memenuhi kriteria ditetapkan Pos Malaysia.

Pos Malaysia mendefinisikan kategori komersial sebagai entiti perniagaan yang menggunakan mel domestik untuk tujuan komersial merangkumi firma profesional, kerajaan dan agensi kerajaan serta organisasi, perusahaan kecil dan sederhana (PKS), institusi pendidikan dan kewangan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), badan berkanun, syarikat, rakan kongsi dan hak milik tunggal serta anggota masyarakat yang berdaftar di bawah Pendaftar Pertubuhan, persatuan dan kesatuan serta syarikat yang diperbadankan.

Sehubungan itu, pelbagai pelanggan komersial Pos Malaysia daripada sektor perbankan, telekomunikasi dan peruncitan telah menyatakan sokongan terhadap kadar pos baharu kerana ia  dianggap relevan dan akan memberi impak minimum kepada perniagaan mereka.


Salah satu pelanggan komersial yang menyokong kadar pos yang disemak semula itu adalah Telekom Malaysia (TM). Penyedia infrastruktur telekomunikasi nasional untuk aspirasi Negara Digital itu turut menyatakan sokongan penuh dalam memperjuangkan visi untuk memastikan ia dapat diakses dan mampu menghubungkan semua pihak pada kadar berpatutan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Datuk Noor Kamarul Anuar Nuruddin berkata: “Bagi mencapai matlamat ini, TM telah memilih untuk memberi sokongan kepada syarikat lain dengan mengekalkan kos kepada pelanggan."

Ketika ini, pelanggan komersial Pos Malaysia mewakili 95 peratus daripada semua pengguna mel di Malaysia. Kadar pos komersial yang disemak semula dianggap adil dan logik serta membolehkan  kadar pos tidak komersial dikekalkan pada harga RM0.60 bagi baki lima peratus pengguna mel individu.

Selain sokongan TM, Bank CIMB juga menyuarakan keyakinan terhadap Pos Malaysia sebagai pusat e-dagang utama di Malaysia dan berpotensi untuk menyumbang ke arah pertumbuhan selanjutnya dalam sektor tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbankan Borong Kumpulan CIMB, Shahnaz Jammal berkata: “E-dagang bersedia untuk meningkatkan ekonomi digital Malaysia dan Pos Malaysia akan menjadi kunci utama bagi memastikan ekosistem peruncitan berasaskan laman web berkembang dengan pantas dan lancar.”

Semakan kadar pos baharu hanya akan mempengaruhi kategori komersial.

Dengan sokongan yang diberikan oleh entiti komersial utama, Pos Malaysia berharap dapat kekal  bertindak dalam usaha meningkatkan kecekapan perkhidmatan dan pengalaman pelanggan untuk kepentingan semua pihak.

Semakan kadar  pos baharu itu juga akan menyumbang ke arah memperbaiki kedudukan kewangan Pos Malaysia terutama bagi menyokong kenaikan kos dalam memenuhi Obligasi Perkhidmatan Sejagat (USO). Syarikat itu juga menjangkakan peralihan pantas ke saluran elektronik dan digital, berbanding komunikasi berasaskan mel.

Dengan adanya pelbagai perniagaan - syarikat awam atau swasta - menuju ke arah ekonomi digital kebelakangan ini, jadi adalah perlu untuk Pos Malaysia juga melakukan perkara sama.

“Digitalisasi adalah langkah ke hadapan untuk Pos Malaysia mengubah sistem pos sedia ada supaya dapat memenuhi keperluan perniagaan untuk terus kekal relevan dalam industri kerana dunia sedang bergerak ke arah Revolusi Industri 4.0," kata Ketua Pegawai Eksekutif Pos Malaysia Berhad, Syed Md Najib Syed Md Noor.

Memperuntukkan RM300 juta untuk tempoh beberapa tahun khusus bagi digitalisasi sistem terasnya, termasuk sistem jejak-dan-kesan, peruncitan, aplikasi mudah alih, keselamatan dan penambahbaikan lain merentasi nilai rantaian perniagaan dalam usaha memacu pendapatan dan kualiti perkhidmatan serta meningkatkan kecekapan melalui automasi bagi menerima lebih banyak kapasiti pemprosesan.

Pendigitalan dan automasi juga akan dilaksanakan untuk mengendali jumlah kurier lebih tinggi.

Syarikat juga telah melaksanakan pra pelancaran melibatkan pembayaran tanpa tunai hasil di beberapa Mesin Automatik Pos (PAM) terpilih untuk menerima tiga e-Wallet masing-masing Touch N Go, Boost dan Maybank QRPay bagi bayaran kepada 30 bil atau agensi.

Langkah itu yang akan diperluaskan ke semula saluran Pos Malaysia termasuk kaunter pejabat pos, laman web dan aplikasi mudah alih dalam masa terdekat adalah seiring hala tuju negara ke arah masyarakat tanpa tunai.

Sistem teras baharu ini dijangka beroperasi sepenuhnya pada pertengahan 2020 diikuti dengan sub-sistem sokongan.

Bagi menyelaraskan pertumbuhan setanding dengan sektor e-dagang yang berkembang pesat, Pos Malaysia sedia untuk menerima inovasi digital dalam meningkatkan kecekapan perkhidmatan dan meningkatkan pengalaman pelanggan.

"Kami tetap yakin selepas melihat peluang yang tidak terjangka sebelum ini terutama dengan perubahan landskap pos, selain potensi yang belum diterokai serta kekuatan kakitangan dan jangkauan rangkaian kami yang akan digunakan ke arah transformasi perkhidmatan pos di Malaysia dan muncul lebih berdaya saing berbanding sebelum ini," tegas Syed Md Najib lagi.

Untuk maklumat lanjut, layari https://www.pos.com.my/

Pos Malaysia, Ekonomi digital, Pos, TM

Artikel Lain