suria

Jejantas dilanggar treler bawa kren akan diroboh, tidak selamat kepada pengguna

Jejantas itu mengalami kerosakan teruk akibat pelanggaran itu.

SEBUAH treler membawa kren melanggar jejantas pejalan kaki di Jalan Pengkalan Weld dekat Georgetown selepas muatan yang dibawa kenderaan itu tersangkut pada jejantas itu sehingga ia mengalami kerosakan teruk dalam kejadian pada Rabu.

Kejadian pukul 4.15 petang itu berlaku selepas treler dari Tanjung Tokong dalam perjalanan ke Butterworth tersangkut pada jejantas yang had ketinggiannya lima meter tersebut.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Soffian Santong berkata ekoran kejadian itu, aliran trafik di kedua-dua hala di hadapan terminal feri Pangkalan Raja Tun Uda dekat Georgetown sesak teruk kerana satu laluan di situ terhalang.

"Kren itu dipercayai tersangkut pada jejantas berkenaan ketika melalui kawasan tersebut dan pemandu treler berusia 30-an terbabit tidak menyedari ia tersangkut serta meneruskan perjalanan hingga ia (jejantas) tertarik ke hadapan sebelum dia berhenti selepas tidak dapat bergerak lagi.

"Kren itu terus tersangkut pada jejantas itu dan pemeriksaan awal mendapati jika ia (kren) dialihkan, kemungkinan besar jejantas berkenaan akan roboh. Jadi, proses untuk mengalihkannya memakan masa kerana memerlukan kren lain untuk menyokongnya (jejantas)," katanya.

Soffian berkata laluan serta jalan di hadapan terminal feri itu ditutup dan pihaknya hanya membuka satu lorong untuk pengguna kenderaan atau bas bagi menghantar penumpang masuk serta keluar yang menaiki feri.

"Hanya satu lorong daripada empat lorong dua hala dari bulatan jam besar menghala ke terminal feri itu dibuka bagi laluan keluar serta masuk kenderaan termasuk bas Rapid Penang untuk menaiki feri. Polis akan menutup jalan di situ sehingga proses membawa turun jejantas itu siap sepenuhnya," katanya sambil menambah bahawa insiden itu akan disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau berkata pemandu treler mendakwa dia dalam perjalanan pulang selepas habis kerja dan semasa melalui jalan di bawah jejantas itu ketika ke Tanjung Tokong pada sebelah pagi, kren yang dibawanya tidak tersangkut dan itu menyebabkan dia terus menggunakan laluan sama untuk pulang ke Butterworth.

Sementara itu, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Datuk Yew Tung Seang berkata kerja-kerja pemotongan wayar utiliti yang terikat dengan struktur jejantas di Pengkalan Weld sedang giat dijalankan oleh pihak Tenaga Nasional Berhad dan Telekom Malaysia bagi membolehkan usaha membawa turun struktur jejantas dilakukan.

"Kami menjangkakan kerja-kerja meroboh dan membawa turun struktur jejantas itu akan berlarutan sehingga pukul 1 atau 2 pagi kerana ia melibatkan beberapa proses. Jejantas tersebut telah rosak teruk dan tidak boleh digunakan lagi kerana tidak selamat… mungkin ia perlu dibina semula," katanya. - BERNAMA

jejantas, kren, Tanjung Tokong

Artikel Lain