Mufti WP buat semakan dengan JPN... tegaskan Muhammad Sajjad wajib secara syarak beribadah, berpakaian seperti lelaki

Mufti Wilayah, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menegaskan Sajat perlu menunaikan ibadah umrah berdasarkan jantina asalnya iaitu lelaki.

SEJAK Ahad, isu Nur Sajat hangat diperkatakan gara-gara usahawan kosmetik tersebut memuat naik gambar dan videonya di laman sosial, berpakaian wanita sewaktu berada di Makkah sekali gus menimbulkan kekeliruan orang ramai mengenai jantina dan ibadah umrahnya.

Bagaimanapun, pertikaian mengenai jantina sebenar usahawan kosmetik tersebut terjawab, selepas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri tampil dengan satu kenyataan pada Selasa.

Menerusi kenyataan yang dimuatnaik di Facebook, Zulkifli berkata berdasarkan maklumat pengesahan daftar kad pengenalan penama yang diperoleh melalui Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sewaktu pertemuan dengan jabatan itu pada Isnin, jantina usahawan kosmetik tersebut didaftarkan sebagai lelaki.

ARTIKEL BERKAITAN: “Dia seorang lelaki secara biologinya...” - Bertelekung tunai umrah di Makkah, menteri teliti ‘perjanjian’ agensi pengembaraan dengan Sajat

ARTIKEL BERKAITAN: Muzakarah tetapkan mukhannas perlu ikut hukum asal kejadian diri, mufti akan keluar kenyataan isu Sajat bertelekung di Makkah

ARTIKEL BERKAITAN: Mujahid panggil agensi umrah, Muhammad Sajad akan dikenakan tindakan tegas selepas bertelekung di Makkah

“Berdasarkan maklumat pengesahan daftar kad pengenalan penama yang diperoleh melalui JPN, nama yang tertera adalah Muhammad Sajjad bin Kamaruz Zaman.

“Jantina penama didaftarkan sebagai lelaki. Semakan lanjut pada sijil kelahiran beliau juga mendapati penama dilahirkan sebagai lelaki.

“Maka, pendirian Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP)  berkenaan jantina beliau adalah berdasarkan apa yang tertera dalam daftar kad pengenalannya dan sijil kelahirannya. Justeru, segala hukum hakam ibadat hendaklah diikut secara lelaki,” kata Zulkifli.

Sajat mengenakan telekung dan berpakaian seperti wanita ketika berada di Makkah. 

Dalam kenyataan yang sama, Zulkifli menjelaskan adalah wajib bagi seorang transgender (mukhannas) menunaikan umrah dengan jantina asalnya.

“Ini juga bertepatan dengan Resolusi Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan Kali Ke 28 Musim Haji 1433H pada kertas kerja bertajuk Khunsa Dan Mukhannas Dalam Permasalahan Ibadat Haji.

“Dalam konteks isu ini, Muhammad Sajjad wajib secara syarak sebagaimana yang termaktub dalam Al-Qur’an dan Hadis untuk beribadah dan berpakaian seperti lelaki,” demikian menurut Zulkifli.

Sementara saudara Muhammad Sajjad berada di Tanah Suci Mekah dan Madinah, saya syorkan agar zahirkan diri sebagai seorang lelaki dan beribadatlah kepada Allah dengan sungguh-sungguh di samping mengisi masa dengan acara-acara ibadat.

DATUK SERI DR ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI

MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN

Dalam pada itu, Zulkifli turut menasihati usahawan tersebut agar jujur kepada diri sendiri dan mengambil peluang untuk beribadat bersungguh-sungguh sementara masih berada di Tanah Suci.

“Sementara saudara Muhammad Sajjad berada di Tanah Suci Mekah dan Madinah, saya syorkan agar zahirkan diri sebagai seorang lelaki dan beribadatlah kepada Allah dengan sungguh-sungguh di samping mengisi masa dengan acara-acara ibadat.

“Saya doakan semoga Allah SWT kurniakan kebaikan, taufiq dan hidayah kepada saudara Muhammad Sajjad bin Kamaruz Zaman dan jadikanlah umrah kali ini sebagai satu titik perubahan dalam kehidupaan anda, amin. Bak kata Hamka ‘Hidup hanya sekali, justeru biarlah bererti’,” katanya lagi.

Sajat sebelum berlepas ke Makkah bersama rakan-rakan dan ibunya.

Zulkifli secara umumnya turut menasihatkan umat Islam yang ingin menunaikan umrah agar memahami maksud sebenar ibadah berkenaan, selain jujur kepada diri sendiri dan berfikir terlebih dahulu sebelum bertindak.

Mufti itu turut menasihati netizen agar tidak sewenang-wenangnya memberi komen bersabit isu berkenaan.

“…fahami latar belakang isu terlebih dahulu meraikan adab, tabayyun (selidik) dan uslub (gaya) dakwah yang akan memberi banyak kesan samada positif atau negatif. Gunakan bahasa yang baik atau teguran yang membina,” ujarnya lagi. 

Artikel Berkaitan

Artikel Lain