suria

Hanya 2 tahun, lebih 500,000 pelajar lepasan SPM tercicir gagal sambung pengajian

Ramai pelajar-pelajar luar bandar tercicir daripada meneruskan pengajian selepas SPM. Gambar hiasan.

DARIPADA seramai 421,706 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2018, hanya 170,878 pelajar sahaja yang ditawarkan untuk melanjutkan pengajian, sekaligus membuktikan ada jurang keciciran mencecah 250,828 orang.

Susulan itu Pertubuhan Intelek Wawasan Malaysia (Intelek) iaitu pertubuhan bukan Kerajaan (NGO) yang diasaskan oleh sekumpulan graduan tampil menjadi jambatan kepada anak-anak miskin bandar dan luar bandar dengan pihak kerajaan.

Melihat kepada senario dua tahun kebelakang, Malaysia mempunyai 512,332 anak muda yang tercicir daripada mendapat pendidikan tertiari mahupun vokasional selepas tamatnya SPM.

Jika 2018, seramai 250,828 tercicir, pada 2017 pula kadar keciciran mencatatkan seramai 261,474 di mana daripada seramai 443,883 calon SPM, seramai 182,409 pelajar ditawarkan tempat pengajian ke peringkat seterusnya. 

Fokus anak-anak miskin luar bandar

"Berdasarkan angka ini, negara kehilangan hampir 60 peratus anak muda setiap tahun yang tidak mendapat tempat untuk meneruskan pengajian.

"Tidak semua anak-anak muda ini gagal dalam SPM, ada yang tidak mempunyai peluang, tidak mengetahui cara memohon, tidak berpeluang membuat rayuan atau tidak mempunyai maklumat berkaitan kursus seperti TVET, kemahiran serta latihan industri yang disediakan kerajaan untuk mereka yang tidak minat dalam pengajian secara akademik.

"Atas dasar tanggungjawab dan prihatin, Intelek akan menjelajah ke negeri dan bandar dengan memfokuskan anak-anak miskin bandar dan luar bandar untuk menyampaikan maklumat berkaitan peluang ini.

"Diharap anak muda ini walaupun asalnya dari keluarga petani, mereka akan dilatih menjadi petani moden dengan mempelajari kemahiran dan teknik agrikultur yang betul di kolej pertanian untuk membantu meneruskan legasi keluarga serta merubah masa depan dan nasib keluarga," ujar satu kenyataan Intelek kepada mStar.

Kepelbagaian peluang

Menurut Intelek, bagi mereka yang terlibat dengan keusahawanan, jahitan, kemahiran membaiki kenderaan ringan dan berat, pelbagai peluang yang ada di kolej kemahiran boleh membantu mereka mendapat pengalaman dan latihan sempurna untuk mempersiapkan diri setelah tamat kursus.

Kursus-kursus TVET juga akan turut membantu mereka untuk mendapat kemahiran dalam menghadapi dunia yang sangat mencabar.

Kerajaan menyediakan peruntukan dan peluang yang banyak kepada golongan ini dan Intelek akan bekerjasama dengan NGO sedia ada untuk membantu mereka mendapatkan peluang pendidikan.

"Kami lebih fokus kepada golongan miskin bandar dan luar bandar serta anak muda terutamanya Bumiputera yang tercicir serta akan bekerjasama dengan mana-mana NGO dan agensi kerajaan dalam memastikan anak-anak muda ini mendapat tempat sebanyak mungkin.

Menurut Intelek, impak dan limpah hasil usaha ini akan membantu mereka menjadi tenaga pekerja, usahawan serta belia yang berpengetahuan dan berkemahiran dalam meningkatkan sosio-ekonomi tempatan dan akan menyumbang kepada ekonomi negara Malaysia pada masa akan datang.

Pelajar SPM, tercicir, SPM

Artikel Lain